
KATHMANDU, 24 Februari – Tiga warga asing termasuk seorang pelancong Britain antara 19 individu yang maut dalam nahas bas di Nepal, pada Isnin.
- Bas terjunam lebih 200 meter ke Sungai Trishuli di daerah Dhading, menyebabkan kemalangan maut besar.
- Kemalangan itu mengorbankan 19 orang, termasuk tiga warga asing; semua mangsa yang maut telah dikenal pasti.
- Kemalangan jalan raya sering berlaku di Nepal kerana keadaan jalan buruk, penyenggaraan kenderaan lemah dan pemanduan berbahaya.
Menurut polis Nepal, mangsa warga asing itu membabitkan seorang lelaki Britain berusia 24 tahun, seorang wanita China dan seorang lelaki India.
Bas berkenaan yang dalam perjalanan dari bandar pelancongan, Pokhara ke ibu negara, Kathmandu, dilaporkan terjunam lebih 200 meter ke Sungai Trishuli yang berair sejuk di daerah Dhading.
Pegawai kanan polis tempatan, Prakash Dahal berkata, semua mangsa yang maut sudah dikenal pasti.
“Terdapat 44 penumpang di dalam bas ketika kejadian termasuk lima warga asing,” katanya kepada AFP.
Seorang lagi warga China dan seorang warga New Zealand dilaporkan cedera dalam insiden berkenaan.
Pada Julai 2024, dua bas yang membawa lebih 50 penumpang dihanyutkan ke sungai sama selepas kejadian tanah runtuh.
Kemalangan maut kerap berlaku di negara republik Himalaya itu susulan keadaan jalan raya yang kurang memuaskan, kenderaan tidak disenggara dengan baik serta pemanduan berbahaya.-AFP