HRD Corp gantung tugas tiga anggota pengurusan, langkah perkukuh disiplin

Gambar RTM

KUALA LUMPUR, 22 Februari – Human Resource Development Corporation (HRD Corp) telah menggantung tugas tiga lagi anggota pengurusannya sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan disiplin institusi dan memelihara keyakinan industri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gantung tugas tiga anggota pengurusan untuk memelihara kebebasan semakan dalaman dan memastikan ketelusan.
  • Komitmen memperkukuh tadbir urus melalui kawalan dalaman lebih ketat, struktur pelaporan jelas dan pengawasan dipertingkatkan.
  • Melaksanakan penambahbaikan rangka kerja, akauntabiliti dan proses pentadbiran bagi perkhidmatan lebih baik kepada majikan.

Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shamir Aziz menerusi kenyataan berkata, tindakan itu adalah langkah prosedur yang diambil untuk memelihara kebebasan semakan dalaman yang sedang dijalankan dan bukan mencerminkan tindakan terhadap salah laku.

Penggantungan itu katanya, menunjukkan komitmen organisasi itu dalam meningkatkan piawaian tadbir urus dan memastikan sumber pembangunan tenaga kerja negara ditadbir dengan telus, cekap dan akauntabiliti.

“Tadbir urus yang kukuh adalah asas kepada keyakinan perniagaan dengan majikan mengharapkan pengelolaan yang telus, konsisten dan berdisiplin.

”Kami sedang memperkukuhkan sistem operasi bagi memastikan HRD Corp sentiasa memenuhi harapan tersebut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Tambahnya, penilaian dalaman itu turut mengenal pasti bidang yang memerlukan kawalan dalaman yang lebih ketat, struktur pelaporan jelas dan pengawasan pematuhan yang dipertingkatkan.

“Penambahbaikan sedang dilaksanakan untuk memodenkan rangka kerja tadbir urus, memperkukuh mekanisme akauntabiliti dan memperkemas proses pentadbiran bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada majikan dan penyedia latihan.

“Penyelarasan semula ini adalah untuk memastikan sistem berfungsi dengan berkesan dan bertanggungjawab selari intipati MADANI Bekerja,” katanya.