PLBM utamakan konsistensi atlet sebelum senarai akhir Sukan Komanwel

Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Februari– Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz mengakui berdepan cabaran dalam menentukan barisan akhir atlet ke Sukan Komanwel di Glasgow pada Julai depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • PLBM hadkan pemilihan bukan berdasarkan satu kejohanan; konsistensi diperlukan sepanjang tempoh penilaian.
  • Persembahan di Asia World Championship dan Four Nation Test Series jadi penentu utama untuk senarai akhir.
  • Nor Farah Ain Abdullah bangkit semula di Seven Nations sebagai contoh kebangkitan atlet.
  • Senarai akhir dimuktamadkan hujung Mei selepas penilaian prestasi; hanya tiga lelaki dan tiga wanita layak.

Menurut beliau, Kejohanan Seven Nations baru-baru ini membuka dimensi baharu dalam persaingan skuad negara apabila beberapa atlet yang tidak dijangka mencipta kejutan, manakala atlet yang dijangka mendominasi gagal menepati sasaran.

“Saya menghadapi satu cabaran dalam pemilihan atlet kerana ramai yang menunjukkan prestasi baik. Saya telah membincangkan secara terperinci dengan MSN setiap nama atlet yang berpotensi menyumbang pingat.”

“Setiap atlet mempunyai karakteristik tersendiri, jadi saya belum boleh memuktamadkan senarai. Oleh itu, untuk menyasarkan pingat, saya memohon peluang tambahan ketika Four Nation Test Series nanti,” katanya.

Beliau menekankan kebangkitan Nor Farah Ain Abdullah sebagai contoh paling ketara selepas tampil dengan aksi cemerlang di Seven Nations.

Selepas menjuarai World Indoor Championship sebelum ini, Farah melalui tempoh hampir setahun tanpa sebarang gelaran.

Namun di Seven Nations, bekas atlet boling padang nombor satu dunia itu bangkit dengan penuh bergaya apabila menewaskan juara bertaraf dunia di separuh akhir sebelum menundukkan pemenang emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 di pentas akhir.

Awalan menegaskan bahawa pemilihan atlet ke Sukan Komanwel tidak akan dibuat berdasarkan satu kejohanan semata-mata.

Sebaliknya, semua atlet perlu membuktikan kemampuan dalam dua medan ujian utama, iaitu Asia World Championship di New Delhi serta Four Nation Test Series di Scotland, sebelum senarai akhir dimuktamadkan pada hujung Mei ini.

“Dalam proses pemilihan atlet, kita menggunakan kejohanan sebagai platform untuk menilai dan menganalisis prestasi mereka. Namun, kita juga perlu melihat konsistensi sepanjang tempoh tertentu.”

“Jika pemilihan dibuat berdasarkan satu kejohanan sahaja, keputusan itu mungkin tidak tepat. Oleh itu, kita perlu berhati-hati dan itulah sebabnya saya belum berani memuktamadkan senarai atlet lagi,” jelasnya.

Beliau menambah bahawa dua kejohanan itu bukan sekadar penyertaan biasa, sebaliknya peluang terakhir bagi atlet merebut tempat.

“Enam lelaki dan enam wanita akan diberi peluang terlebih dahulu. Daripada situ, hanya tiga lelaki dan tiga wanita akan dipilih. Jadi, dua kejohanan ini sangat penting. Mereka perlu mempamerkan prestasi terbaik jika mahu ke Glasgow,” ujarnya.

Mengulas mengenai mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bersama MSN itu, beliau berkata PLBM telah menghantar senarai panjang atlet kepada MSN dan akan memperincikannya pada Mei ini berdasarkan prestasi di kedua-dua kejohanan berkenaan.