
KUALA LUMPUR, 16 Februari – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan amaran tegas bahawa lebih ramai individu berada dalam ‘radar’ Seri Paduka Baginda dalam misi memerangi rasuah tanpa kompromi di semua jabatan dan agensi kerajaan.
- Agong beri amaran lebih ramai individu kini dalam radar misi membanteras rasuah tanpa kompromi.
- Rasuah digelar pengkhianatan amanah rakyat dan tidak akan ditoleransi dalam pentadbiran negara.
- Anggota polis, imigresen, kastam, SPRM, ejen dan pembekal turut disasarkankerana semua peranan diawasi.
- Pegawai yang tidak amanah akan diganti; tindakan pertukaran atau alternatif akan dilaksanakan segera.
Seri Paduka Baginda bertitah, rasuah merupakan pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan tidak akan sama sekali ditoleransi dalam pentadbiran negara.
“Jangan ingat memerangi rasuah ini hanya bertumpu pada segelintir jabatan, atau mereka yang memberi dan menerima, malah berhati-hati juga mereka di Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan pelbagai lagi.
“Tidak terlepas juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
“Tidak kira apa jua pangkat anda, begitu juga ejen-ejen yang menjadi “orang tengah” selain menjadi pembekal pelbagai peralatan, pakaian serta perubatan, anda juga dalam ‘radar’.
“Bak kata pepatah ‘siapa makan cili, dia terasa pedas’, jangan anda semua ingat saya tidak tahu apa-apa, saya juga mempunyai risikan saya sendiri,” titah Seri Paduka Baginda yang dimuat naik dalam dalam Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.
Sultan Ibrahim bertitah usaha membanteras rasuah tidak boleh bersifat kosmetik atau sekadar retorik kerana tiada sesiapa yang boleh terlepas daripada undang-undang.
Titah Seri Paduka Baginda, sekiranya terdapat pegawai yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan berintegriti, maka pertukaran perlu dilaksanakan tanpa berlengah.
“Saya ada alternatif lain. Jika ada pegawai yang tidak mampu melaksanakan amanah dengan jujur, berikan peluang kepada mereka yang lebih layak dan bersih untuk menjalankan tanggungjawab itu,” titah Seri Paduka Baginda.