
KUALA LUMPUR, 15 Februari – Wisma Putra melalui Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Jabatan Imigresen Malaysia dan pihak berkuasa Indonesia berjaya membawa pulang seorang wanita warganegara, Norida Akmal Ayob, bersama anak perempuannya pada Sabtu, selepas 18 tahun terpisah daripada keluarga.
- Norida Akmal Ayob dibawa pulang bersama anak perempuan selepas 18 tahun terpisah daripada keluarga.
- Perpisahan berlaku kerana Norida mengikuti suami ke Lombok dan menetap hampir dua dekad.
- Kisahnya terdedah apabila keluarga melaporkan keadaan serba kekurangan dan anak terbiar.
- Wisma Putra, Imigresen dan pihak berkuasa Indonesia bekerjasama memulangkan beliau.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang juga Ahli Parlimen Lenggong memaklumkan perkara itu menerusi hantaran Facebook.
“Norida yang sebelum ini mengikuti suaminya, seorang warga Indonesia, ke Lombok dan menetap di wilayah itu sejak hampir dua dekad lalu, terpaksa menjalani kehidupan serba kekurangan selepas perkahwinannya berakhir.
“Norida mempunyai dua orang anak iaitu Nur Fateen Akmadiana, lahir di Malaysia dan merupakan warganegara, serta Muhamad Sabani Daniel, warga Indonesia kerana dilahirkan di Indonesia,” menurut hantaran itu.

Kisah kesukaran hidup Norida mula diketahui apabila ahli keluarganya dari Kampung Bukit Sapi, Lenggong tampil memaklumkan keadaan beliau yang serba kekurangan, termasuk anak-anak yang tidak dapat meneruskan persekolahan dan terbiar.
Susulan itu, seorang pegawai telah dihantar ke Lombok bagi menguruskan proses membawa pulang mereka ke tanah air.
Menurut Datuk Seri Dr Shamsul Anuar kerajaan komited meneruskan usaha untuk membantu rakyat Malaysia yang berdepan kesukaran di luar negara.