
JOHOR, 14 Februari – Sebanyak 818 unit lampu sembahyang bagi kaum Cina bernilai hampir RM57,000 dirampas serta disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, semalam.
- Serbuan dibuat hasil risikan sebulan bersama pemilik hak cipta produk berkenaan.
- Gudang dan dua premis jualan disyaki menawarkan lampu sembahyang melanggar hak cipta.
- KPDN Johor menyita barangan dan menyiasat hubungan operasi antara premis dan gudang.
- Kes disiasat di bawah Akta Hak Cipta 1987 kerana dugaan pelanggaran hak cipta.
Menurut Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo, pemeriksaan awal mendapati sebuah gudang dan dua premis memiliki serta menawarkan jualan lampu sembahyang yang disyaki melanggar karya seni berdaftar dan dilindungi hak cipta.
“Serbuan dijalankan hasil pemeriksaan di gudang dan premis yang menjual alatan sembahyang di Batu Pahat serta Johor Bahru.
“Risikan bermula sejak sebulan lepas dengan kerjasama pemilik hak cipta karya produk tersebut.
“KPDN sedang menyiasat kaitan operasi antara premis dan gudang berkenaan,” katanya menerusi kenyataan.
Kes disiasat mengikut Akta Hak Cipta 1987 kerana disyaki melakukan pelanggaran hak cipta.