
SHAH ALAM, 13 Februari – Skuad boling padang negara menjangkakan cabaran sengit dalam saingan Kejohanan 7 Nations Lawn Bowls Invitation 2026 yang berlangsung dari 15 hingga 18 Februari ini di Stadium Juara, Kompleks Sukan Negara Bukit Kiara.
- New Zealand dan India dikenalpasti sebagai pencabar utama berdasarkan pengalaman pertemuan lalu.
- Pengenalan sistem masa 30 saat menuntut pemain membuat keputusan lebih pantas dan fokus tinggi.
- Latihan di bawah jurulatih baharu meningkatkan kecergasan dan persiapan jangka panjang skuad.
Ketua pasukan, Soufi Rusli, berkata New Zealand dan India dikenal pasti sebagai pencabar utama berdasarkan pengalaman lalu berdepan lawan dari kedua-dua negara itu.
“Bagi kami, berdasarkan pengalaman, negara seperti New Zealand antara yang perlu diberi perhatian kerana corak permainan mereka hampir sama dengan Australia. Jadi kami perlu perkemaskan semula aspek yang masih kurang,” katanya pada sidang media di sini.
Kejohanan edisi kali ini memperkenalkan format baharu dengan penggunaan sistem masa 30 saat bagi setiap balingan, selaras dengan format yang akan digunakan pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Soufi mengakui penggunaan sistem masa itu menuntut pemain lebih pantas membuat keputusan.
“Bila guna ‘timer’, saya perlu cepat menyesuaikan diri kerana ia memerlukan kepantasan dan fokus yang lebih tinggi,” katanya, sambil menambah tekanan awal yang dirasai semakin dapat diatasi menerusi latihan berterusan.
Sementara itu, juara dunia 2025, Emma Firyana Saroji, turut melihat India sebagai antara pencabar utama berdasarkan pengalaman di pentas antarabangsa.
Beliau mengimbas pertemuan dengan pemain India, Nayanmoni Saikia, yang disifatkan memberi tentangan sengit dalam kejohanan terdahulu.
“Kita tahu pemain India mampu beri saingan hebat. Insya-Allah, untuk kejohanan ini kita akan perbaiki lagi corak permainan bagi menghadapi mereka,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Emma menyifatkan latihan di bawah jurulatih baharu, Fairul Izwan Abd Muin, memberi impak positif khususnya dari aspek kecergasan.
Katanya, penekanan awal terhadap tahap kecergasan penting sebagai persiapan jangka panjang menghadapi temasya besar termasuk Sukan Komanwel 2026.
Kejohanan 7 Nations Lawn Bowls Invitation 2026 dilihat sebagai medan penting menguji tahap kesiapsiagaan skuad negara sebelum mengharungi cabaran lebih besar di pentas antarabangsa.