Azam Baki sedia hadapi siasatan bebas isu pemilikan saham

Tan Sri Azam Baki komited kepada ketelusan dan bersedia menghadapi siasatan bebas.

KUALA LUMPUR, 13 Februari – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bersedia untuk disiasat jawatankuasa bebas berhubung isu pemilikan saham.

RINGKASAN BERITA AI
  • Azam sedia disiasat oleh jawatankuasa bebas berhubung isu pemilikan saham.
  • Semua siasatan mesti telus, bebas, objektif dan berpandukan bukti serta prinsip keadilan.
  • Beliau tekankan akauntabiliti, tiada siapa di atas undang-undang dan akan beri kerjasama penuh.

Tegasnya, pengisytiharan kewangan serta harta beliau telah dibuat selaras peraturan perkhidmatan awam melalui saluran rasmi yang ditetapkan dan tiada apa yang disembunyikan.

Menurut beliau, sebarang proses siasatan perlu dilaksanakan secara telus, bebas dan objektif berasaskan bukti serta berlandaskan prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang.

Pendekatan itu penting bagi mempertahankan integriti peribadi selain mengekalkan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai institusi penguatkuasaan, katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata sebagai penjawat awam dan ketua agensi penguatkuasaan, mana-mana individu yang berhadapan dakwaan sewajarnya bersikap terbuka serta bersedia disiasat secara bebas dan telus.

Prinsip akauntabiliti harus terpakai kepada semua pihak tanpa pengecualian dan tidak boleh bersifat terpilih atau bermusim, katanya.

Beliau berkata SPRM sentiasa mengambil maklum setiap laporan serta aduan termasuk dikemukakan pertubuhan bukan kerajaan dan akan menilai maklumat berdasarkan undang-undang serta fakta melalui proses siasatan sah.

Tegasnya tiada siapa berada di atas undang-undang dan pada masa sama tiada pihak wajar dihukum hanya berdasarkan persepsi atau naratif media semata-mata.

Sepanjang perkhidmatannya, beliau kekal komited terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang serta akan memberi kerjasama penuh kepada mana-mana mekanisme sah yang ditubuhkan bagi meneliti perkara berkenaan.

Beliau yakin kebenaran dapat ditegakkan melalui proses yang adil dan bebas.