TMM2026 : Liputan 5G di hab pengangkutan utama perkukuh imej Malaysia

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil (tengah) merasmikan pelaksanaan liputan 5G di enam hab pengangkutan utama negara bagi memperkukuh imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan sempena TMM2026 di KLIA/ BERNAMA

SEPANG, 12 Februari – Pelaksanaan rangkaian liputan 5G di enam hab pengangkutan utama negara menyokong agenda transformasi digital dan memperkukuh imej negara sebagai destinasi pelancongan bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan liputan 5G di enam hab pengangkutan utama memperkukuh imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan TMM2026.
  • Kesalinghubungan 5G meningkatkan pengalaman digital pengunjung serta kecekapan operasi, peruncit dan kakitangan di hab pengangkutan.
  • Teknologi 5G menyokong aplikasi keselamatan dan automasi seperti kamera 4K, RedCap, robotik dan AI untuk operasi lebih efisien.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, antara objektif utama kerajaan sempena TMM2026 adalah untuk memastikan pengunjung membentuk tanggapan positif terhadap kesalinghubungan internet negara, tahap hospitaliti dan tarikan pelancongan yang ditawarkan.

“Hab pengangkutan ini merupakan pintu masuk penting ke negara kita. Ia membentuk tanggapan pertama pengunjung dan memainkan peranan kritikal dalam memudah cara perdagangan, pelancongan serta aktiviti ekonomi.

“Liputan 5G dalam bangunan yang dilaksanakan di enam hab ini akan menjadi pemangkin perubahan bukan sahaja kepada para pengembara, malah kepada kakitangan, peruncit dan operasi, dengan membolehkan kecekapan serta produktiviti dipertingkat melalui kesalinghubungan berteknologi tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan liputan Ultra5G dalam bangunan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Terdahulu, pelaksanaan 5G oleh U Mobile, pengendali rangkaian 5G kedua Malaysia dengan kerjasama EDOTCO, meliputi KLIA Terminal 1 dan Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Penang Sentral serta Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

Kemudahan internet berkelajuan tinggi di lapangan terbang dan lokasi strategik lain membolehkan pelancong menikmati pengalaman digital yang lancar sejurus tiba di Malaysia, termasuk mengakses maklumat perjalanan.

“Hab pengangkutan merupakan titik interaksi pertama pelancong dengan negara kita. Jika mereka menerima layanan yang baik serta akses internet yang sangat pantas, ia akan mewujudkan tanggapan positif terhadap keseluruhan pengalaman mereka di Malaysia,” katanya.

Malaysia juga antara negara yang menawarkan harga internet paling berpatutan di dunia dan pelaksanaan 5G di pintu masuk utama negara dijangka meningkatkan keterujaan serta keyakinan pengunjung.

Teknologi 5G di hab pengangkutan turut mempunyai potensi besar dalam aplikasi keselamatan, termasuk penggunaan kamera berkeupayaan 4K, teknologi Reduced Capability (RedCap), robotik dan kecerdasan buatan (AI) mampu meningkatkan kecekapan operasi di hab pengangkutan.

“Kerjasama antara pihak berkuasa tempatan dan pengendali lapangan terbang dalam memanfaatkan teknologi 5G secara menyeluruh dilihat penting bagi memastikan pelaksanaannya memberi impak maksimum.

“Saya percaya ini antara manfaat utama teknologi 5G, dan sekiranya diperluaskan ke sektor lain, banyak industri akan dapat menikmati kelebihan yang sama,” katanya.