
KUANTAN, 12 Februari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang menahan dua kapal serta merampas 1.572 tan syabu dengan nilai keseluruhan RM83.75 juta dalam satu Operasi Khas di perairan Pahang, semalam.
- Maritim Pahang menahan dua kapal dalam Operasi Khas, rampasan besar dadah di perairan Pahang.
- Jumlah seberat 1.572 tan syabu ditemui dalam 76 guni bersama 50,000 liter minyak diesel.
- 18 kru termasuk dua nakhoda warga Thailand dan Indonesia ditahan dan direman tujuh hari.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan operasi dipergiat menjelang Ramadan.
Pengarah Maritim Negeri Pahang Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, 18 kru termasuk dua nakhoda kapal membabitkan warga Thailand dan Indonesia ditahan.
Rampasan membabitkan sindiket dadah antarabangsa itu adalah yang terbesar sejak penubuhan Maritim Pahang pada tahun 2005.
“Tahun lalu, pihak jiran kita telah menahan sebuah kapal yang terlibat dengan kegiatan hampir sama, dengan tangkapan lebih kurang dua tan syabu.
“Berdasarkan maklumat risikan yang kita perolehi, kita mengesyaki kegiatan seperti ini juga boleh berlaku di perairan kita. Oleh itu, kita melaksanakan operasi khas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Maritim Negeri Pahang di sini hari ini.
Kapal tangki Kamal Bangkok bersama 13 kru warga Thailand dan Indonesia itu ditahan pada 11 Februari kira-kira 107 batu nautika timur laut Kuantan.
Pemeriksaan menemukan 76 guni berisi bahan disyaki syabu seberat 1.572 tan serta 50,000 liter minyak diesel.
Di lokasi sama, sebuah lagi kapal kargo, Sail Fish 09 berdaftar di Indonesia bersama lima kru warga Indonesia turut ditahan.
Kesemua 18 kru termasuk dua nakhoda direman tujuh hari bermula 13 Februari manakala kapal dan barang kes dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta undang-undang berkaitan, dan operasi akan terus dipergiat menjelang Ramadan.