PGA rampas vape lebih RM1 juta dalam Ops E-Cig Mega

Komander Briged Tengah PGA, SAC Hakemal Hawari bercakap dalam Sidang Media Ops E-Cig Mega di ibu negara/RTM

KUALA LUMPUR, 12 Februari -Sebanyak 2,263 unit peranti serta 165,463 liter cecair rokok elektronik (vape) dirampas dengan nilai melebihi RM1 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ops E-Cig Mega serbu 30 premis di lima negeri, rampas peranti dan cecair vape bernilai lebih RM1 juta.
  • 51 individu diperiksa; dua ditahan bawah Akta Imigresen dan pelbagai kesalahan lesen serta akta kawalan produk dikenalpasti.
  • Briged Tengah juga berjaya tumpaskan sindiket penyeludupan migran, tahan 39 warga Indonesia termasuk tekong laut.

Rampasan dilakukan oleh Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Ops E-Cig Mega yang dijalankan serentak di lima negeri, Selasa lalu.

Komander Briged Tengah PGA, SAC Hakemal Hawari berkata, operasi berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Dalam serbuan dan pemeriksaan yang telah dijalankan seramai 51 orang telah diperiksa iaitu rakyat Malaysia seramai 44 orang, Indonesia, (tiga) Bangladesh (dua), India yang ini bukan warganegara (satu) dan Myanmar (satu).

“Dalam serbuan tersebut seramai 2 orang telah ditahan dan ditangkap bawah Seksyen 6 (1) (c) dan juga dibawah seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM1 juta dan nilai revenue RM28, 500.00,” katanya pada sidang media Ops E-Cig Mega di sini, hari ini.

Tambah beliau, sebanyak 30 premis menjual peranti dan cecair vape diserbu membabitkan 11 di Kuala Lumpur, diikut Selangor (empat), Negeri Sembilan (tiga), Melaka (lima) dan Johor (tujuh).

Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk menjalankan penjualan tanpa lesen sah serta melanggar peruntukan bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dan Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian.

Dalam perkembangan berasingan, beliau memaklumkan Briged Tengah PGA turut berjaya menangkap kegiatan sindiket penyeludupan migran yang dipercayai aktif di sekitar Sabak Bernam, Selangor.

Kejayaan itu dicapai menerusi pelaksanaan Op Taring Delta yang dijalankan pada Selasa.

“Hasilnya, pihak Briged Tengah telah berjaya menangkap 39 orang migran warganegara Indonesia yang melibatkan 19 orang lelaki dewasa, 17 orang perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki serta dua orang lelaki dewasa yang berperanan sebagai tekong laut,” katanya lagi.

Siasatan awal mendapati dua lelaki warga Indonesia dipercayai bertindak sebagai tekong laut itu berasal dari Aceh dan dipercayai telah lama menetap di negara ini.

Mereka dipercayai menjalankan operasi pada waktu awal pagi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, selain menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai bagi urusan perkhidmatan yang ditawarkan.

Bayaran dikenakan antara RM1,500 hingga RM3,000 bagi setiap individu untuk satu perjalanan.

Mereka dipercayai menggunakan bot nelayan laut dalam bersaiz besar dan memasuki negara ini melalui laluan di perairan utara Selangor.