
KUALA LUMPUR, 12 Februari – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sedang menunggu maklum balas rasmi daripada pemain perseorangan profesional Lee Zii Jia serta beregu lelaki Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani berhubung jemputan menyertai skuad kebangsaan bagi menghadapi kempen Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei depan.
- BAM menunggu maklum balas rasmi dari pemain profesional dipanggil menyertai skuad Piala Thomas 2026.
- Jemputan dihantar untuk kem latihan pusat sebagai persediaan menghadapi kejohanan berpasukan.
- Skuad akan berlepas lebih awal ke Denmark untuk kem latihan 10 hari sebagai persediaan rapi.
- Sasaran juara selaras dengan perancangan Tangkis 2030; komitmen penuh pemain diperlukan.
Turut menerima jemputan, pemain perseorangan profesional, Aidil Sholeh Ali Sadikin.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei berkata jemputan rasmi telah dihantar kepada pemain terbabit bagi menyertai kem latihan pusat sebagai persiapan menghadapi kejohanan berpasukan berprestij itu.
“Kita akan memilih pemain yang berada pada tahap terbaik untuk persiapan kali ini.
“Sejak Disember tahun lalu, saya dan barisan kejurulatihan sudah berbincang untuk membuat persiapan awal,” katanya selepas lawatan Penaung BAM, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) di ibu negara.
Menurut beliau, kejohanan berpasukan memerlukan komitmen penuh semua pemain.
“Ini acara berpasukan, jadi kita perlu bersama-sama. Ia bukan individu, tetapi pasukan yang bermain untuk negara,” tegasnya.
Beliau turut memaklumkan skuad negara akan berlepas lebih awal ke Denmark sebagai persediaan terakhir sebelum kejohanan bermula.
“Kita akan pergi awal ke Denmark untuk kem latihan 10 hari. Kita mahu buat persiapan rapi. Sasaran tetap sama (juara),” katanya.
Sementara itu, Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan sasaran muncul juara adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang Tangkis 2030.
“Sasaran dalam mana-mana sukan, kita mesti berani mensasarkan yang tinggi. Jika tidak mencapainya, tidak mengapa, tetapi kita mesti memberi yang terbaik.
“Apa yang kita tidak mahu ialah mencari alasan. Saya optimis kita mempunyai pemain, jurulatih dan kepimpinan untuk menjayakannya. Ini peluang kita dan kita mesti percaya kita boleh menang,” katanya.
Kali terakhir Malaysia menjuarai Piala Thomas ialah pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.