Pelan khas PERHILITAN tangani gangguan kera

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 12 Februari – Pelaksanaan pelan pengurusan khusus menjadi antara langkah utama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dalam menangani gangguan kera dan monyet di beberapa kawasan.

RINGKASAN BERITA AI
  • PERHILITAN laksanakan pelan pengurusan khusus untuk menangani gangguan kera dan monyet di beberapa kawasan.
  • Operasi tangkap dan pindah, pemantauan, pemetaan populasi serta penggunaan teknologi dalam penyelidikan diteruskan.
  • Kerjasama dengan universiti dan program perangkap komuniti dijalankan; pelupusan hidupan liar tertakluk kepada Akta 716.

Langkah itu turut merangkumi operasi tangkap dan pindah bagi mengurangkan konflik antara hidupan liar dan komuniti setempat.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, strategi jangka panjang dan pendek dilaksanakan, termasuk mengemas kini pelan pengurusan bagi spesies ‘Macaca fascicularis’ atau kera ekor panjang yang dikenal pasti bermasalah.

“Pelan ini merangkumi pemetaan taburan populasi, khidmat nasihat kepada komuniti, pemantauan, operasi tangkap dan pindah serta penggunaan teknologi terkini dalam penyelidikan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latif Abdul Rahman.

Menurut beliau, PERHILITAN turut bekerjasama dengan universiti tempatan bagi memperkukuh penyelidikan dan mengenal pasti kaedah pengurusan yang lebih berkesan.

Tambahnya, program perangkap komuniti juga dilaksanakan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menangani konflik kera.

Mengenai pelupusan hidupan liar, Syed Ibrahim menegaskan ia tertakluk di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716], yang melarang individu memburu, menyimpan atau melupuskan hidupan liar yang dilindungi tanpa lesen sah.