
SIMPANG AMPAT, 12 Februari – Setiap pelaporan penyakit tuberkulosis (tibi) di sekolah ditangani mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan tindakan pantas diambil dan risiko penularan dapat dibendung.
- Kerjasama rapat KPM dan KKM untuk tindakan susulan dan pencegahan penularan tibi di sekolah serta asrama.
- Tindakan diambil mengikut garis panduan KKM dengan pemantauan tepat dari pihak kesihatan.
- Pemantauan dan pelaporan segera dibuat berdasarkan maklumat diterima untuk elak penularan lebih besar.
- Saringan terhadap kontak rapat sedang dilaksanakan susulan pengesanan kluster komuniti dan sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, wujud kerjasama rapat antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan KKM bagi setiap tindakan yang diambil, khususnya untuk mengelakkan penularan penyakit di kawasan sekolah dan asrama.
“Kita melaksanakan semua tindakan dengan pemantauan tepat daripada KKM.
“Aspek pelaporan juga dibuat segera berdasarkan maklumat yang diterima bagi mengelakkan penularan menjadi lebih besar dan membahayakan warga sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Serahan ‘Smartboard Prasekolah dan Flag Off’ Susu UHT Farm Fresh Grow Percuma Murid Prasekolah Seluruh Pulau Pinang, di Sekolah Kebangsaan (SK)
Bandar Tasek Mutiara, di sini hari ini.
Terdahulu, beberapa negeri melaporkan pengesanan kes tibi melibatkan kluster komuniti dan sekolah, dengan saringan terhadap kontak rapat sedang dilaksanakan.