
KUALA LUMPUR, 12 Februari – Bahan tempatan termasuk hasil sampingan daripada industri sawit, padi, daun mil serta produk agro industri seperti hampas soya dan sisa nenas, boleh dimanfaatkan secara optimum sebagai sumber makanan ternakan tempatan.
- Gunakan hasil sampingan sawit, padi dan agroindustri sebagai sumber tenaga dan protein alternatif untuk makanan ternakan.
- MARDI menjalankan formulasi bagi menghasilkan makanan ternakan berasaskan Palm Kernel Expeller (PKE) lebih berkualiti.
- Penggunaan PKE dan Palm Kernel Cake dapat mengurangkan kebergantungan kepada bahan mentah import.
- Projek penanaman jagung bijian berskala untuk kurangkan import, sasaran pengeluaran tempatan sehingga 1.25 juta tan metrik.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata hasil sampingan itu disifatkan berpotensi untuk menyediakan sumber tenaga dan protein alternatif, sekali gus, mengurangkan kebergantungan industri ternakan negara terhadap bahan makanan ternakan import.
Selain itu, kajian formulasi bagi menghasilkan makanan ternakan berasaskan Palm Kernel Expeller (PKE) atau isi rong sawit yang lebih berkualiti juga dilaksana oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
“Kos input makanan ternakan merupakan komponen terbesar yang menyumbang sehingga 70 peratus daripada jumlah kos operasi keseluruhan pengeluaran sama ada dalam industri ruminan atau bukan ruminan. Hasil sampingan dari industri sawit yang diproses seperti Palm Kernel Expeller (PKE) dan Palm Kernel Cake (PKC) dapat dimanfaatkan sebagai makanan ternakan,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Datuk Seri Mohamad menjawab soalan dikemukakan ahli Parlimen Kuala Krau, Kamal Ashaari mengenai langkah Kerajaan mengawal kenaikan kos makanan ternakan sehingga 25 peratus akibat kebergantungan 70 peratus bahan mentah import serta strategi mengoptimumkan penggunaan Palm Kernel Expeller (PKE) bagi menstabilkan harga.
Kementerian itu juga katanya melaksanakan projek penanaman jagung bijian secara berperingkat bagi mengurangkan import bahan makanan ternakan, membabitkan keluasan tanaman sehingga 136,527 hektar.
Projek itu dijangka dapat mengeluarkan jagung bijian tempatan sebanyak 1.25 juta tan metrik.
Sehingga kini, 1,252 hektar kawasan penanaman jagung bijian telah dibangunkan melibatkan 143 petani dan 21 syarikat atau koperasi yang mampu menghasilkan 6,656 tan metrik pengeluaran jagung bijian.