
BUENOS AIRES, 12 Februari– Keganasan tercetus di Buenos Aires pada Rabu (11 Februari) apabila kumpulan aktivis mengadakan protes terhadap rang undang-undang reformasi buruh yang sedang dibahaskan di Dewan Senat.
- Protes mencetuskan keganasan di luar Kongres sebagai bantahan terhadap rang undang-undang reformasi buruh.
- Kesatuan sekerja bimbang kelulusan undang-undang akan mengehadkan hak pekerja.
- Polis menggunakan gas pemedih mata dan meriam air selepas demonstran membaling objek.
- Kerajaan gabungan kata telah membuat pindaan untuk mendapatkan sokongan dan meneruskan proses pengundian.
Menurut kesatuan sekerja, kelulusan itu berpotensi mengehadkan hak pekerja.
Para penunjuk perasaan termasuk kesatuan sekerja dan kumpulan sayap kiri, berhimpun di luar bangunan Kongres, di mana pihak polis menubuhkan perimeter keselamatan dengan pagar dan trak meriam air.
Kekecohan berlaku apabila demonstran bergerak ke arah bangunan, dengan sebahagian daripada mereka membaling objek ke arah anggota polis manakala pihak berkuasa membalas menggunakan gas pemedih mata dan meriam air.
Kesatuan sekerja utama negara itu menganjurkan protes berkenaan bagi menuntut rang undang-undang tersebut ditolak, sementara beberapa kesatuan lain termasuk pekerja sektor awam dan pekerja dalam sektor eksport agro melancarkan mogok.
Gabungan pemerintah, yang tidak memiliki majoriti di mana-mana dewan berkata mereka mempunyai sokongan mencukupi untuk meluluskan undang-undang itu selepas membuat pindaan bagi memenangi hati ahli parlimen pembangkang.
Sekiranya diluluskan di Senat, rang undang-undang itu kemudiannya perlu dibawa untuk pengundian di Dewan Rendah iaitu Dewan Wakil Rakyat. -REUTERS