Bekas setiausaha politik, isteri direman bantu siasatan rasuah

Bekas setiausaha politik kepada bekas Ketua Menteri Melaka dan isterinya direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes berkaitan rasuah/Bernama

PUTRAJAYA, 12 Februari– Bekas setiausaha politik kepada bekas Ketua Menteri Melaka dan isterinya direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes berkaitan rasuah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bekas setiausaha politik dan isterinya direman lima hari bagi membantu siasatan rasuah.
  • SPRM mendakwa mereka meminta dan menerima suapan kira-kira RM3 juta berkaitan projek penambakan laut Melaka.
  • Siasatan mendapati perbuatan dipercayai berlaku antara Februari hingga November 2021.
  • Wang rasuah dipercayai digunakan untuk membeli sebuah unit kondominium di Lembah Klang.

Perintah reman hingga 16 Februari depan dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Siasatan akan dijalankan membabitkan dakwaan meminta dan menerima suapan kira-kira RM3 juta sebagai balasan membantu syarikat dilantik sebagai konsesi projek penambakan laut di sekitar Melaka.

Media melaporkan, pasangan suami isteri itu ditahan pada 2.00 petang semalam, ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini.

Siasatan awal SPRM mendapati suspek yang bergelar Datuk Wira itu dipercayai melakukan perbuatan terbabit antara Februari hingga November 2021.

Hasil siasatan turut mendapati wang rasuah berkenaan dipercayai digunakan untuk membeli seunit kondominium di sekitar Lembah Klang.

Terdahulu, pasangan suami isteri itu tiba di pekarangan Mahkamah Putrajaya kira-kira 9.10 pagi dengan menaiki kenderaan SPRM dan kes disiasat di bawah Seksyen 16a(A) Akta SPRM 2009. -BERNAMA