
KUALA LUMPUR, 12 Februari – Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), Malaysia kini bersedia menerima kehadiran pelancong, namun aspek keselamatan, kesihatan dan alam sekitar perlu terus diperkukuh bagi memastikan pengalaman pelawat berada pada tahap terbaik.
- Perkukuh sistem pengurusan keselamatan, kesihatan pekerjaan dan alam sekitar di semua lokasi pelancongan.
- Gunakan piawaian antarabangsa seperti ISO 45001 dan ISO 14001 serta pengurusan keselamatan pelancongan berisiko tinggi.
- Wujudkan mekanisme pemantauan berterusan untuk menaksir risiko, kumpul data dan laksana tindakan susulan.
Menurut Presiden Persatuan Keselamatan & Kesihatan Industri Malaysia (MISHA), Aziz Basiran berkata, berdasarkan maklumat dan pemerhatian pihaknya, negara secara keseluruhan berada dalam keadaan teratur dan memuaskan untuk menerima jumlah pelancong yang besar.
“InsyaAllah kita bersedia menerima pelancong. Namun beberapa penambahbaikan perlu diberi perhatian khususnya dari aspek keselamatan, kesihatan pekerjaan serta pengurusan alam sekitar,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Kota Media di sini hari ini.
Menurut beliau, setiap pihak yang terlibat dalam industri pelancongan perlu mempunyai sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan yang lebih menyeluruh serta sistematik.
Antara piawaian antarabangsa yang boleh dijadikan rujukan termasuk pensijilan seperti International Organization for Standardization menerusi ISO 45001 (Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan), ISO 14001 (Sistem Pengurusan Alam Sekitar) serta pelaksanaan Adventure Tourism Safety Management System bagi sektor pelancongan berisiko tinggi.
Beliau menegaskan, pelaksanaan sistem tersebut bukan sekadar memenuhi keperluan dokumentasi, tetapi bagi memastikan setiap lokasi pelancongan mempunyai proses penaksiran risiko dan peluang yeng jelas.
“Setiap premis atau lokasi perlu mengenal pasti hazard iaitu sumber yang berpotensi menyebabkan kecederaan atau masalah kesihatan. Selepas itu, risiko perlu ditaksir dan langkah kawalan dilaksanakan secara berkesan,” jelas beliau.
Sementara itu, cabaran utama dalam pengurusan pelancong adalah faktor kepelbagaian bahasa, budaya, literasi dan tahap kefahaman.
“Pelancong datang daripada pelbagai negara dengan latar belakang berbeza. Justeru, aspek komunikasi risiko, papan tanda keselamatan dan tatacara operasi perlu lebih mesra pelancong serta mudah difahami,” katanya.
Walaubagaimanapun, keselamatan di pintu masuk utama negara, beliau menyifatkan keadaan semasa adalah teratur dan memuaskan.
Namun, beliau mencadangkan supaya diwujudkan satu badan atau mekanisme pemantauan khusus yang menyelaras penaksiran risiko sebelum ketibaan, semasa berada di negara ini dan selepas pelancong pulang.
Katanya, pendekatan pemantaun berterusan itu penting bagi mengumpul data, mengenal pasti jurang penambahbaikan dan merangka tindakan susulan secara sistematik.
Dengan penekanan kepada pengurusan risiko yang lebih komprehensif, MISHA berpandangan TMM2026 berpotensi menjadi pemangkin kepada budaya keselamatan yang lebih kukuh dalam industri pelancongan negara.