Cadangan Super Apps, pencapaian program Rakan Muda antara tumpuan Dewan Rakyat

Bangunan Parlimen Malaysia/ Bernama

KUALA LUMPUR, 12 Februari- Cadangan pewujudan aplikasi tunggal “Government Super Apps”, pencapaian terkini program Rakan Muda serta bayaran balik lebihan cukai antara topik yang akan dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perbincangan cadangan mewujudkan Government Super Apps bagi menyatukan urusan kerajaan termasuk garis masa dan perbelanjaan.
  • Permintaan laporan pencapaian program Rakan Muda 2025, impak kepada belia dan cadangan penambahbaikan berteraskan sahsiah serta kemahiran.
  • Soalan mengenai bayaran balik lebihan cukai: jumlah dibayar, baki tertunggak dan garis masa pelunasan penuh.
  • Perbahasan RUU berkaitan Rapid Transit Johor Bahru-Singapura 2026 dan bacaan kedua RUU Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2026.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Tan Hong Pin (PH-Bakri) meminta Menteri Digital menyatakan sama ada kerajaan bercadang mewujudkan satu aplikasi yang menyatukan semua urusan kerajaan, termasuk garis masa pelaksanaan dan jumlah perbelanjaan, pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Pada sesi sama, Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) meminta Menteri Belia dan Sukan memaklumkan pencapaian terkini program Rakan Muda 2025, impak kepada belia dan sama ada pendekatan penganjuran akan ditambah baik agar berteraskan pembinaan sahsiah dan kemahiran.

Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) pula mengajukan soalan kepada Menteri Kewangan mengenai jumlah bayaran balik lebihan cukai yang telah dibayar setakat ini, baki tertunggak dan garis masa kerajaan untuk melunaskan sepenuhnya bayaran balik berkenaan.

Sementara itu, pada sesi soal jawab lisan, Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan langkah kerajaan mengawal kenaikan kos makanan ternakan hingga 25 peratus akibat kebergantungan kepada bahan mentah import serta strategi mengoptimumkan penggunaan dedak isirung sawit bagi menstabilkan harga.

Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) pula meminta penjelasan Menteri Digital mengenai bagaimana Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI) akan menangani isu hak cipta dan harta intelek yang timbul daripada sistem AI yang dilatih menggunakan data hak cipta termasuk teks, imej, audio dan video.

Usai sesi soal jawab, persidangan diteruskan dengan sesi perbahasan RUU Rapid Transit System Link Johor Bahru-Singapura 2026 serta bacaan kali kedua RUU Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2026 oleh Menteri Kewangan. -BERNAMA