
KUALA LUMPUR, 11 Februari – Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-271 di Istana Negara, di sini hari ini.
- Sultan Terengganu mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-271 di Istana Negara.
- Beberapa Sultan dan Raja menyertai, termasuk perwakilan dari negeri-negeri utama.
- Hadir juga Yang Dipertua Negeri, Menteri Besar, Ketua Menteri dan Timbalan Premier Sarawak.
- Yang di-Pertuan Agong menghadiri pramesyuarat; mesyuarat kali terakhir diadakan 8 Okt tahun lepas.
Berangkat sama, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Turut berangkat Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim dan Pahang diwakili Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.
Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Rustam dan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib.
Selain itu, Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri, serta Timbalan Premier Sarawak turut hadir pada mesyuarat berkenaan.
Pada Selasa, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke pramesyuarat Majlis Raja-Raja ke-271, di Istana Negara.
Kali terakhir mesyuarat itu diadakan pada 8 Okt tahun lepas, dipengerusikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.