Kadar zakat fitrah di Perlis RM9

Kadar zakat fitrah bagi negeri Perlis untuk tahun ini berjumlah RM9. Foto/MAIPs

KANGAR, 11 Februari – Kadar zakat fitrah bagi negeri Perlis untuk tahun 1447H/2026M ditetapkan dengan satu kadar berjumlah RM9, sama seperti tahun sebelumnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kadar zakat fitrah Perlis 1447H/2026M ditetapkan RM9, sama seperti tahun sebelumnya.
  • Penetapan mengambil kira harga pasaran beras sebagai Ghalib Qut Al-Balad dan hukum satu gantang Nabawi.
  • Pembayaran boleh dibuat melalui amil rasmi MAIPs atau portal dalam talian rasmi MAIPs.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memaklumkan, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan melancarkan penetapan kadar zakat fitrah itu di Istana Siraj Kuala Lumpur pada Selasa.

Berangkat mengiringi baginda ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs.

Turut serta Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor.

Menurut MAIPs, penetapan kadar itu diputuskan setelah mengambil kira harga pasaran semasa bagi beras yang lazimnya menjadi makanan asasi (Ghalib Qut Al-Balad) penduduk di Perlis, selaras tuntutan syarak menetapkan kadar satu gantang Nabawi bagi setiap individu.

“Selain itu, bagi umat Islam yang menunaikan zakat dengan beras, maka kadar zakat fitrah ditetapkan satu gantang Nabawi seorang, iaitu bersamaan 2.6 kilogram,” menurut MAIPs dalam satu kenyataan.

Pembayaran boleh dilakukan melalui amil yang dilantik secara rasmi oleh MAIPs atau menggunakan kaedah pembayaran secara dalam talian melalui portal rasmi MAIPs, iaitu www.maips.gov.my atau menerusi digital.maips.gov.my.