
LUMUT, 10 Februari – Kapal Tempur Pesisir ketiga (LCS 3) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), yang dinamakan KD Sharif Mashor, selamat dilancarkan dalam satu upacara penuh istiadat di Limbungan Lumut Naval Shipyard, Perak, hari ini.
- Pelancaran KD Sharif Mashor, LCS 3 TLDM, dirasmikan di Limbungan Lumut Naval Shipyard.
- Nama kapal menghormati semangat kepahlawanan Sharif Mashor dan perjuangan menentang penjajahan.
- LCS 3 merupakan frigat pertama dibina sepenuhnya oleh syarikat tempatan, menunjukkan kebolehan industri pertahanan.
- Inisiatif ini sejajar dengan Dasar Industri Pertahanan Negara, menekankan pemindahan teknologi dan penguatan bakat tempatan.
Upacara penamaan dan pelancaran kapal berkenaan disempurnakan oleh isteri Yang Dipertua Negeri Sarawak Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi dan majlis turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pemilihan nama KD Sharif Mashor adalah bertepatan dengan semangat perjuangan dan kepahlawanan tokoh sejarah Sarawak itu dalam mempertahankan wilayah serta menentang penjajahan pada abad ke-19.
“Semangat kepahlawanan, perjuangan dan keberanian beliau menjadi inspirasi kepada keupayaan Kapal Tempur Pesisir TLDM yang mampu menangkis serangan musuh dari pelbagai dimensi.
“Bagi menghargai jasa dan perjuangannya, nama Sharif Mashor kini diabadikan dan disematkan pada kapal yang dilancarkan hari ini”, katanya menerusi ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Upacara Penamaan dan Pelancaran Kapal Tempur Pesisir ketiga (LCS 3) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Limbungan Lumut Naval Shipyard, Lumut Perak.
Ujarnya, LCS 3 merupakan kapal kelas frigat pertama yang dibina sepenuhnya oleh syarikat tempatan, Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd, sekali gus mencerminkan keupayaan industri pertahanan negara serta kepakaran anak tempatan dalam bidang pembinaan kapal perang berteknologi tinggi.
Tambah beliau, pelaksanaan Dasar Industri Pertahanan Negara turut memperlihatkan komitmen kerajaan dalam membangunkan industri pertahanan yang mampan melalui pemindahan teknologi, pemerkasaan bakat tempatan dan peningkatan kandungan tempatan, termasuk menerusi pelaksanaan Program Kolaborasi Industri atau ICP secara strategik.
Justeru katanya, pelancaran SHARIF MASHOR sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh kedaulatan maritim negara serta memperkasa keupayaan pertahanan laut Malaysia.