Dua penjawat awam direman lima hari kes tuntutan palsu diesel RM114,000

FOTO RTM

KANGAR, 10 Februari – Dua penjawat awam sebuah jabatan di Perlis direman selama lima hari hingga Sabtu bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis berhubung kes tuntutan palsu pembekalan diesel bernilai RM114,000.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua penjawat awam direman lima hari bantu siasatan SPRM berhubung tuntutan palsu pembekalan diesel bernilai RM114,000.
  • Suspek, 43 dan 37 tahun, adalah Pembantu Tadbir Kanan dan Penolong Pegawai Tadbir, ditahan di pejabat SPRM Perlis.
  • Tuntutan palsu melibatkan 14,000 liter (RM53,200) pada 2023 dan 16,000 liter (RM60,800) pada 2024 tanpa pembekalan sebenar.
  • Suspek disyaki mengarahkan syarikat kemukakan dokumen palsu, menerima imbuhan lima peratus; kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Mohd Amiruldin Roslan di Kangar pagi tadi.

Kedua-dua suspek berusia 43 dan 37 tahun itu masing-masing merupakan Pembantu Tadbir Kanan dan Penolong Pegawai Tadbir. Mereka ditahan di pejabat SPRM Perlis kira-kira jam 5 petang semalam.

Menurut sumber, kedua-dua suspek disyaki menjadi dalang tuntutan palsu pembekalan diesel bagi kerja membekal dan menghantar bahan bakar diesel kepada jabatan berkenaan.

Bagi tahun 2023, tuntutan melibatkan 14,000 liter diesel dengan nilai RM53,200, manakala pada 2024 melibatkan 16,000 liter diesel bernilai RM60,800.

Sumber turut memaklumkan suspek mengarahkan sebuah syarikat mengemukakan dokumen tuntutan untuk tujuan pembayaran dan memperakukan penerimaan, sedangkan pembekalan sebenar tidak berlaku. Kedua-duanya juga didakwa terlibat dalam proses pengesyoran dan pemilihan syarikat kontraktor terbabit.

Selain itu, suspek dipercayai menyerahkan lima peratus bayaran kepada pemilik syarikat sebagai imbuhan kerana menggunakan syarikat tersebut.

Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.