
PUTRAJAYA, 9 Februari – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyeru semua jawatankuasa rumah ibadat di negara ini memohon kebenaran merancang daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum memulakan sebarang pembinaan.
- Jawatankuasa rumah ibadat perlu mohon kebenaran merancang daripada pihak berkuasa tempatan sebelum memulakan pembinaan.
- KPKT bersedia membantu kerajaan negeri dan PBT menyusun pembangunan serta melaksanakan proses pemutihan premis sedia ada.
- Kebenaran akan diluluskan mengikut peraturan dan dasar terbuka selagi pematuhan serta tidak melibatkan pencerobohan tanah.
- KPKT menyediakan dana tahunan untuk penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam; JAKIM urus peruntukan besar untuk masjid dan surau.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, KPKT bersedia membantu kerajaan negeri dan PBT dalam menyusun pembangunan secara lebih teratur termasuk melaksanakan proses pemutihan ke atas premis sedia ada.
Beliau berkata, pihaknya memahami terdapat rumah ibadat dibina sebelum kewujudan Kanun Tanah Negara dan Akta Kerajaan Tempatan, justeru tidak wajar dinilai sepenuhnya berdasarkan peruntukan undang-undang semasa.
“Sudah tentunya saya berharap permohonan gereja, masjid, kuih, surau atau tokong, mohon kebenaran merancang.
“Kita akan luluskan ikut peraturan. Kita mengamalkan dasar terbuka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Jentera Bomba dan Ops Siaga Raya 2026 di sini, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, rumah ibadat yang dibina tanpa mematuhi peraturan tidak akan diberikan kelulusan dan diiktiraf sebagai sah.
Katanya, semua rumah ibadat boleh dibina sekiranya mematuhi peraturan serta tidak melibatkan pencerobohan tanah milik pihak lain.
Nga berkata, KPKT turut menyediakan dana bagi kerja-kerja penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam yang uzur atau memerlukan pembaikan, seperti bumbung bocor dan struktur bangunan daif.
“Setiap tahun, sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi membantu rumah-rumah ibadat bukan Islam di seluruh negara.
“Bagi masjid dan surau, peruntukan berjumlah RM2.6 bilion disediakan di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya.
Isu rumah ibadat katanya, tidak seharusnya dipolitikkan atau dijadikan polemik sebaliknya perlu ditangani dengan penuh kebijaksanaan dan menjurus ke arah kedamaian.#