
PUTRAJAYA, 8 Februari – Kerjasama strategik antara Malaysia dan India diperkukuh menerusi pemeteraian 11 dokumen, termasuk memorandum persefahaman (MoU) dalam tiga bidang utama iaitu pembanterasan dan pencegahan rasuah, pengurusan bencana serta perjanjian berkaitan penerbitan audio visual.
- Memeteraian 11 dokumen memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia dan India dalam pelbagai sektor.
- MoU utama melibatkan pembanterasan rasuah, pengurusan bencana dan penerbitan audio visual.
- Kerjasama diperkasakan dalam tenaga, pertanian, keselamatan makanan, pertahanan, kesihatan dan semikonduktor.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemeteraian dokumen berkenaan mencerminkan tahap hubungan dua hala yang semakin kukuh dan menyeluruh antara Malaysia dan India.
Menurut beliau, kerjasama dalam bidang tenaga, pertanian dan keselamatan makanan, pertahanan serta pendidikan turut diperkasakan ke tahap lebih tinggi melalui pemeteraian yang disaksikan hari ini.
“Ini merupakan kerjasama yang komprehensif dan kami yakin ia dapat diperkukuh serta dilaksanakan dengan baik oleh kedua-dua negara serta kementerian luar masing-masing.
“Kita turut menyaksikan pertukaran 11 dokumen termasuk MoU yang melangkaui kerjasama dua hala biasa, merangkumi bidang kesihatan, semikonduktor dan keselamatan. Dari segi perdagangan, hubungan ini akan terus diperkembangkan dengan potensi mencatat lonjakan luar biasa dalam perdagangan dan ekonomi antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Malaysia–India yang berlangsung di Bangunan Perdana Putra, di sini.
Sebanyak 11 dokumen yang dimeterai merangkumi MoU dalam bidang pembanterasan dan pencegahan rasuah, pengurusan bencana serta perjanjian penerbitan audio visual.
Turut dimeterai Memorandum Kerjasama (MoC) dalam bidang tenaga kerja, selain Pertukaran Nota (EoN) membabitkan kerjasama sektor semikonduktor, kesihatan, keselamatan negara serta pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Majlis berkenaan turut menyaksikan Pertukaran Surat (EoL) bagi kerjasama misi pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), selain penyerahan Perjanjian Rangka Kerja International Big Cats Alliance (IBCA).