
PUTRAJAYA, 8 Februari – Sokongan diberikan terhadap pandangan yang dikeluarkan Jabatan Mufti berhubung isu penggunaan kalimah ‘Alhamdulillah’ oleh bukan Islam.
- Sokongan terhadap pandangan Jabatan Mufti mengenai penggunaan kalimah 'Alhamdulillah' oleh bukan Islam wajar dihormati.
- Isu hukum dan kefahaman Islam perlu dirujuk kepada pihak berautoriti seperti Jabatan Mufti.
- Jabatan Mufti mengeluarkan pandangan berdasarkan al-Quran, sunnah dan ulama muktabar.
- Hormati pandangan tersebut untuk menjaga keharmonian masyarakat majmuk dan elakkan polemik yang meruncingkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata Malaysia mempunyai sistem dan autoriti agama yang jelas serta diiktiraf.
Sehubungan itu, sebarang isu berkaitan hukum dan kefahaman Islam wajar dirujuk kepada pihak berautoriti.
“Saya melihat Jabatan Mufti telah mengeluarkan pandangan berdasarkan al-Quran dan sunnah serta pandangan ulama muktabar, justeru kami merujuk kepada pihak berautoriti yang sememangnya faqih.
Kita menerima nasihat Jabatan Mufti kerana ketika ini terlalu ramai yang memberikan pandangan, namun perkara ini wajar diserahkan kepada pihak berautoriti yang mengemukakan pandangan tidak berat sebelah dari sudut terbaik,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan program MAIWP Run 2026 di Dataran Putrajaya.
Dr. Zulkifli turut menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu cepat memberikan pandangan sendiri, terutama apabila terlalu banyak tafsiran dikemukakan tanpa merujuk pihak berautoriti.
Tambahnya, pandangan yang dikeluarkan Jabatan Mufti bukan sahaja untuk kepentingan agama, malah bagi menjaga keharmonian masyarakat majmuk negara ini.
Beliau menyeru semua pihak agar menghormati pandangan tersebut serta tidak memanjangkan polemik yang boleh menimbulkan kekeliruan dan menjejaskan keharmonian antara agama.