Johor sasar sifar sungai tercemar menjelang 2030

Datuk Onn Hafiz Ghazi/ BERNAMA

KOTA TINGGI, 6 Februari – Kerajaan Johor menetapkan sasaran sifar sungai tercemar menjelang tahun 2030 sebagai usaha memperkukuh perlindungan alam sekitar dan kelestarian khususnya di negeri itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pencapaian sasaran sifar sungai tercemar menjelang 2030 melalui penguatkuasaan undang-undang lebih tegas.
  • Pembinaan Pusat Pemerolehan, Perawatan dan Perlupusan Buangan Terjadual negeri untuk melupus sisa kimia selamat.
  • Kerjasama dengan industri dan tindakan tegas Jabatan Alam Sekitar termasuk denda dan hukuman penjara.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, komitmen tersebut dilaksanakan melalui penguatkuasaan lebih tegas, penambahbaikan sistem pengurusan sisa serta kerjasama dengan sektor industri.

“Kita mesti menguatkuasakan undang-undang dengan lebih serius. Jika tidak, walaupun kita mempunyai hab sisa berjadual di Johor, masih ada pihak yang akan membuang bahan kimia ke dalam sungai-sungai kita. Perkara ini tidak akan dibenarkan sama sekali.

“Kita akan bertindak tegas terhadap mana-mana syarikat yang mencemarkan alam sekitar. Ini adalah janji saya kepada mereka yang cuba mencabar ketegasan kita di Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Pusat Pemerolehan, Perawatan dan Perlupusan Buangan Terjadual Negeri Johor di PTD 15829, Mukim Ulu Sungai Johor, Off Jalan Sg. Tiram di sini.

Kemudahan pertama seumpamanya di Johor itu akan mengurus dan melupuskan sisa kimia secara selamat, sekali gus mengelakkan pencemaran sungai.

Beliau turut menggesa Jabatan Alam Sekitar mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melanggar undang-undang, dengan pesalah boleh didenda sehingga RM500,000 atau dipenjara maksimum lima tahun.

Jumlah sungai tercemar pada 2026 dijangka berkurang kepada enam, susulan rekod yang dicatatkan menunjukkan pengurangan. Pada 2023 sebanyak 14 sungai tercemar direkodkan dan angka itu terus berkurang kepada sembilan pada 2025.