
GEORGE TOWN, 6 Februari – Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) dilihat sebagai pemangkin penting kepada kestabilan dan pertumbuhan pelaburan jangka panjang antara kedua-dua negara.
- ART memperkukuh isyarat politik dan ekonomi komitmen jangka panjang antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
- Perjanjian membuka peluang eksport bernilai besar dan manfaat kepada sektor luar bandar serta perusahaan tempatan.
- ART meningkatkan keyakinan pelabur asing dan menyokong integrasi Pulau Pinang dalam rantaian bekalan semikonduktor global.
Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D. Kagan berkata perjanjian itu menerima reaksi positif daripada pelabur Amerika, khususnya dalam sektor strategik seperti semikonduktor dan elektrik dan elektronik serta elektrika(E&E).
Meskipun hubungan perdagangan dua hala telah berkembang tanpa perjanjian formal sebelum ini, ART menghantar isyarat politik dan ekonomi yang jelas mengenai komitmen jangka panjang kedua-dua negara untuk bekerjasama secara lebih erat.
“Perkara ini memberi isyarat bahawa kedua-dua negara melihat manfaat untuk merapatkan hubungan ekonomi antara satu sama lain, selain menandakan potensi integrasi jangka panjang.
“Dalam persekitaran ekonomi semasa, perdagangan antara Amerika Syarikat dan Malaysia mencatat peningkatan sebanyak 13 peratus tahun lalu. Eksport Malaysia ke Amerika Syarikat meningkat lebih 14 peratus, manakala eksport Amerika Syarikat ke Malaysia naik sekitar 8 peratus. Ini merupakan satu pencapaian yang sangat baik dalam apa jua keadaan, malah jauh melebihi jangkaan yang dibuat pada April 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena sesi pertemuan bersama media di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Penang Institute, Datuk Dr Ooi Kee Beng.
Kagan menjelaskan, perjanjian itu turut membuka peluang eksport bernilai lebih AS$6 bilion kepada syarikat Malaysia, sekali gus memberi manfaat besar kepada sektor luar bandar dan perusahaan tempatan.
Statistik perdagangan menunjukkan hubungan dagangan Amerika Syarikat–Malaysia mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila meningkat sebanyak 13 peratus tahun lalu, dengan eksport Malaysia ke Amerika Syarikat melonjak lebih 14 peratus.
Mengulas mengenai kestabilan pelaburan, beliau berkata ART memberi jaminan kepada pelabur asing bahawa Malaysia komited untuk memperkukuh ekosistem perniagaan, melindungi perdagangan sedia ada dan menarik pelaburan baharu.
Pulau Pinang sebagai hab utama semikonduktor negara dijangka terus mendapat manfaat daripada pelaksanaan perjanjian itu, terutama dalam memastikan integrasi Malaysia dalam rantaian bekalan global kekal kukuh.