
KOTA TINGGI, 6 Februari – Sebanyak 38 Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dalam kawasan kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM), menerima manfaat menerusi Sekolah Angkat MADANI Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan peruntukan berjumlah RM1.3 juta.
- 38 sekolah dalam kawasan kem ATM terima manfaat melalui Sekolah Angkat MADANI LTAT dengan peruntukan RM1.3 juta.
- Inisiatif tingkatkan prasarana pembelajaran termasuk bilik darjah pintar, peralatan digital, dan perabot untuk ~24,000 pelajar.
- LTAT dan IRAT sumbang bilik darjah pintar serta empat penyaman udara untuk Program Pendidikan Khas Integrasi.
Inisiatif itu memanfaatkan kira-kira 24,000 pelajar yang majoritinya merupakan anak warga ATM.
Daripada jumlah keseluruhan peruntukan, sebanyak RM100,000 disalurkan kepada SK dan SMK Tanjung Pengelih bagi menaik taraf bilik darjah pintar di sekolah berkenaan.
Usaha itu melibatkan penambahbaikan prasarana pembelajaran termasuk penyediaan peralatan digital, bilik darjah ergonomik serta kemudahan berfokuskan pelajar.
Menurut Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi, inisiatif tersebut meliputi penyediaan kemudahan pembelajaran yang lengkap bagi memastikan persekitaran pembelajaran lebih kondusif.
Katanya, kemudahan bilik darjah pintar itu merangkumi pemasangan permaidani, pencahayaan, penyaman udara, perabot serta kelengkapan teknologi seperti televisyen pintar.
Sementara itu, Pegawai Memerintah KD Sultan Ismail, Kepten Hazlan Hazumi berkata, kemudahan tersebut mampu dimanfaatkan secara optimum memandangkan sebahagian besar pelajar sekolah berkenaan terdiri daripada anak warga kem.
Penolong Kanan SMK Tanjung Pengelih, Zainal Hamzah pula berpandangan, penyediaan bilik darjah pintar itu diyakini dapat memperkasa pelaksanaan pembelajaran abad ke-21 di sekolah tersebut.
Selain itu, LTAT bersama Ikatan Relawan Rakyat (IRAT), turut menyampaikan cek bagi sumbangan empat unit penyaman udara tambahan kepada kelas Program Pendidikan Khas Integrasi di SMK Tanjung Pengelih.