
KUALA LUMPUR, 6 Februari– Langkah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memperkenalkan laluan baharu yang membolehkan majikan tempatan menggaji pekerja asing secara terus disifatkan penting bagi menangani isu tekanan kos, ketidaktelusan proses pengambilan serta risiko salah guna kuasa dan kebergantungan kepada orang tengah.
- Pengambilan terus pekerja asing kurangkan kos pengambilan dan kebergantungan kepada orang tengah.
- Perlu mekanisme tadbir urus, pemantauan kukuh dan sistem digital bersepadu bagi memastikan ketelusan.
- Perhatian kepada kebolehan majikan kecil, pematuhan undang-undang dan penyelarasan antara agensi diperlukan.
Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) berkata struktur pengambilan pekerja asing sedia ada yang terlalu bergantung kepada pihak perantara telah mewujudkan beban kos yang ketara kepada majikan, khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), selain menjejaskan kecekapan operasi dan daya saing perusahaan tempatan.
Katanya, struktur pengambilan yang tidak telus bukan sahaja meningkatkan kos operasi, malah membuka ruang kepada amalan tadbir urus yang lemah serta eksploitasi pekerja asing, sekali gus memberi kesan negatif terhadap kelestarian ekosistem perniagaan dan pasaran buruh negara.
“Pendekatan yang membolehkan majikan menggaji pekerja asing secara terus dilihat sebagai satu pembaharuan struktur yang penting bagi mengurangkan kos pengambilan pekerja yang berlebihan.
“Bagaimanapun, DPMM berpandangan, pelaksanaan laluan baharu ini perlu disokong dengan mekanisme tadbir urus dan pemantauan yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
DPMM turut menegaskan beberapa cabaran utama yang perlu diberi perhatian, termasuk keupayaan majikan kecil mengurus proses pengambilan secara langsung, keperluan kepada sistem digital yang telus dan bersepadu, pematuhan perundangan yang konsisten, serta penyelarasan berkesan antara kementerian, agensi berkaitan, pihak imigresen dan negara sumber tenaga kerja.
Pada masa sama, DPMM sedang melaksanakan Program Jelajah Gerakan Ekoniaga MADANI (GEMA) di peringkat nasional sebagai platform libat urus secara langsung dengan komuniti usahawan.
Dewan perniagaan itu juga bersedia memanfaatkan platform GEMA bagi mendapatkan maklum balas berstruktur daripada komuniti peniaga serta menyalurkan dapatan lapangan secara sistematik kepada KESUMA untuk tujuan penambahbaikan dasar serta memastikan manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh.