Maritim Malaysia aktifkan Op Khas Tanjung Dua libat empat negeri

FOTO RTM

GEORGE TOWN, 6 Februari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengaktifkan Operasi Khas Tanjung Dua melibatkan empat negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Perlis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Maritim Malaysia lancarkan Operasi Khas Tanjung Dua melibatkan empat negeri untuk tingkatkan pemantauan perairan utara.
  • Operasi guna lebih 1,000 anggota, 10 kapal, 20 bot dan pemantauan udara rutin untuk tahan pencerobohan serta pemerasan bot.
  • Operasi sambungan kepada Tanjung Satu; perluasan kawasan bertujuan kawalan lebih luas walaupun aset udara terhad penyelenggaraan.

Operasi khas bagi mengekang pencerobohan bot serta aktiviti penguatkuasaan asing di perairan utara negara itu melibatkan lebih 1,000 anggota.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Muda Mohd Zawawi Abdullah berkata, operasi tersebut digerakkan dengan sokongan lebih 10 aset kapal, 20 bot, selain pemantauan udara secara berkala.

Beliau berkata, operasi itu merupakan kesinambungan kepada Operasi Tanjung Satu yang telah dilaksanakan sejak lima tahun lalu.

Menurutnya, peluasan operasi ke empat negeri bertujuan menjadikan kawasan pemantauan lebih luas dan berkesan. Setakat ini, tiada kejadian ganas dilaporkan. Namun terdapat insiden yang kerap berlaku secara bermusim, khususnya melibatkan isu pemerasan bot.

“Bot terbabit akan ditarik masuk ke dalam perairan negara sebelum pemilik bot tempatan dan nelayan diperas, termasuk diminta bayaran tertentu. Kejadian seperti ini bersifat bermusim. Dari segi aset, bagi empat negeri ini, kita mempunyai lebih daripada 10 buah kapal dan lebih 20 bot. Helikopter pula melaksanakan rondaan secara berkala,” katanya.

Jelas Mohd Zawawi lagi, pihak udara APMM turut menjalankan penerbangan pemantauan di kawasan perairan utara. Operasi udara ini dilaksanakan secara rutin setiap hari.

“Namun buat masa ini, terdapat kekangan dari segi penyelenggaraan aset udara, menyebabkan penggunaannya dihadkan kepada kes-kes kecemasan sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Operasi Khas Tanjung Dua Siri 1 Tahun 2026 di Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang, George Town.