
PERAI, 6 Februari – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya menggagalkan sindiket penyeludupan rokok dan aktiviti pengilangan arak tanpa lesen bernilai lebih RM10.7 juta dalam dua kejadian berasingan.
- JKDM Pulau Pinang menggagalkan sindiket penyeludupan rokok dan kilang arak tanpa lesen bernilai lebih RM10.7 juta.
- Di Pelabuhan Klang, 908 kotak mengandungi hampir 9.99 juta batang rokok putih disembunyikan dalam 930 kotak berlabel perabot.
- Serbuan di premis tanpa papan tanda di Sungai Dua rampas 10,391 botol atau lebih 4,200 liter minuman keras bernilai melebihi RM700,000.
- Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 20(1), 74(1)(f) Akta Eksais 1976.
Pengarah JKDM Pulau Pinang, Datuk Rohaizad Ali berkata, pihaknya menahan sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang sebelum menyita rokok bernilai hampir RM10 juta yang disembunyikan dalam 930 kotak berlabel furniture.
“Pemeriksaan rapi mendapati 908 kotak mengandungi rokok putih disyaki barang larangan berjumlah lebih sembilan juta batang, dengan nilai keseluruhan termasuk duti mencecah RM9,990,200. Baki 22 kotak pula didapati mengandungi perabot,” katanya.
Dalam kejadian berasingan, beliau berkata pihaknya turut menumpaskan aktiviti pengilangan arak tanpa lesen yang memproses lebih 4,200 liter minuman keras bernilai lebih RM700,000.
Menurutnya, serbuan dilakukan di sebuah premis tanpa papan tanda yang terletak di kawasan ladang kelapa sawit di Sungai Dua.
Pihaknya merampas sebanyak 10,391 botol atau lebih 4,200 liter minuman keras dengan nilai anggaran keseluruhan melebihi RM700,000 termasuk cukai.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 20(1) dan Seksyen 74(1)(f) Akta Eksais 1976.
Beliau berkata demikian kepada media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Pulau Pinang, di sini.