
KUCHING, 6 Januari – Polis menahan enam individu yang dipercayai terlibat dalam sindiket pusat penggilan penipuan permainan tidak wujud menerusi aplikasi Multi WhatsApp Warmer dalam satu serbuan di sebuah rumah kedai di Jalan Tun Jugah, kira-kira pukul 2.13 petang pada Rabu.
- Enam individu tempatan ditahan dipercayai terlibat sindiket pusat panggilan penipuan permainan tidak wujud menggunakan aplikasi Multi WhatsApp Warmer.
- Polis merampas komputer, telefon, kad SIM dan peranti lain dipercayai digunakan untuk aktiviti penipuan dalam talian.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120(b) Kanun Keseksaan; reman empat hari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kuching, Penolong Pesuruhjaya Polis ACP Alexson Naga Anak Chabu berkata, serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.
“Hasil operasi tersebut, polis menahan empat lelaki dan dua wanita warga tempatan berusia antara 18 hingga 35 tahun.
“Dalam serbuan sama, polis turut merampas pelbagai peralatan komputer, telefon bimbit, kad SIM serta peranti berkaitan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti penipuan secara dalam talian.
“Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan beroperasi sebagai pusat panggilan (calling centre) yang menyebarkan iklan permainan tidak wujud kepada sasaran warga tempatan melalui aplikasi Multi WhatsApp Warmer,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Jelas ACP Alexon lagi, kesemua individu yang ditahan dipercayai bekerja sepenuh masa dalam menjalankan aktiviti penipuan tersebut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun, sebatan serta boleh didenda jika sabit kesalahan.
“Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 120(b) Kanun Keseksaan berkaitan pakat jahat jenayah, yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya.
“Kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching semalam bagi mendapatkan perintah reman, dan mahkamah meluluskan reman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut,” jelasnya lagi.
Sementara itu, orang ramai digesa supaya tampil menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah serta bekerjasama dengan pihak polis dalam usaha mencegah jenayah.
Sebarang maklumat boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau Pusat Kawalan Daerah Kuching di talian 082-244444.