Cuba sedia adakan dialog dengan AS tanpa tekanan

Presiden Cuba Miguel Díaz-Canel

HAVANA, 6 Februari – Cuba bersedia mengadakan dialog dengan Amerika Syarikat (AS) tanpa tekanan atau prasyarat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cuba bersedia mengadakan dialog dengan AS tanpa tekanan atau prasyarat, menuntut kesaksamaan dan penghormatan kedaulatan.
  • Kerajaan menyalahkan sekatan AS dan kekurangan bahan api atas krisis ekonomi terburuk beberapa dekad.
  • Bekalan elektrik terjejas dan negara bergantung kepada rakan luar untuk menampung kekurangan bahan api.

Presiden Miguel Díaz-Canel menegaskan perkara itu susulan ancaman Presiden AS Donald Trump untuk menyekat bekalan minyak ke negara berkenaan.

Trump sebelum ini memberi amaran Cuba akan tumbang dan menggesa Havana supaya membuat perjanjian dengan Washington secepat mungkin, namun beliau tidak memperincikan bentuk perjanjian berkenaan.

Beliau juga mendakwa kedua-dua negara sedang berunding, dakwaan yang dinafikan kerajaan Cuba.

“Cuba bersedia untuk mengadakan dialog dengan Amerika Syarikat, dialog mengenai apa-apa isu sekali pun, tetapi tanpa tekanan atau prasyarat,” kata Díaz-Canel dalam siaran televisyen dan radio kerajaan.

Tegasnya, sebarang dialog mesti berlangsung atas dasar kesaksamaan serta menghormati kedaulatan, kemerdekaan dan hak menentukan nasib sendiri Cuba serta tanpa campur tangan dalam urusan dalaman negara itu.

Sementara itu, jurucakap White House Karoline Leavitt berkata Presiden AS sentiasa bersedia untuk terlibat dalam diplomasi dengan Cuba, sambil mendakwa kerajaan negara berkenaan berada di ambang keruntuhan.

Cuba yang kini berdepan krisis ekonomi yang serius, telah sekian lama bergantung kepada bekalan minyak dari Venezuela, namun pemimpinnya digulingkan dalam satu operasi ketenteraan AS, bulan lalu.

Trump kemudian mendakwa telah mengambil alih kawalan minyak Venezuela dan berikrar untuk menyekat bekalan minyak ke Cuba, serta mengancam untuk mengenakan tarif terhadap mana-mana negara yang membantu Havana yang dikenakan sekatan AS.

Strategi tekanan itu berisiko menjerumuskan Cuba ke dalam kegelapan sepenuhnya dengan loji jana kuasanya bergelut mengekalkan bekalan elektrik akibat kekurangan bahan api.

Awal Khamis, ratusan ribu penduduk di bahagian timur negara itu terputus bekalan elektrik selama beberapa jam susulan kegagalan grid kuasa.

Díaz-Canel menegaskan negaranya masih mempunyai rakan-rakan, walaupun tidak menamakan mereka, ketika berdepan apa yang disifatkannya sebagai kekurangan bahan api yang serius.

“Kami tidak dapat menjelaskan secara terbuka segala yang sedang kami lakukan dan kami tidak bersendirian,” katanya.

Kerajaan Cuba menyalahkan sekatan AS sebagai punca utama krisis ekonomi terburuk yang dialaminya dalam beberapa dekad.

Manakala pemerhati berpendapat pengurusan ekonomi yang lemah serta kemerosotan pelancongan selepas pandemik COVID-19 turut menyumbang kepada keadaan itu.-AFP