
KUALA LUMPUR, 5 Februari- Usaha mewujudkan persekitaran kerja yang mengutamakan kesejahteraan, fleksibiliti dan inovasi terus diperkasakan selari dengan keperluan memperkukuh ekosistem keusahawanan negara.
- Ruang kerja fleksibel berorientasikan transit memudahkan akses dan meningkatkan penyertaan tenaga kerja.
- Model ini menarik perniagaan bernilai tinggi dan berintensifkan pengetahuan.
- Peluang pekerjaan berkualiti dan pembangunan bakat menjadi fokus utama inisiatif.
- WORQ terus berkembang dengan pelancaran WORQ Well di lokasi berhubung transit.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berkata pendekatan ruang kerja fleksibel khususnya yang berorientasikan transit, berupaya memperkasakan lebih ramai rakyat Malaysia menyertai tenaga kerja.
“Ruang kerja yang fleksibel dan berorientasikan transit bukan sahaja memperkasakan lebih ramai rakyat Malaysia menyertai tenaga kerja. Pendekatan ini juga membantu menarik perniagaan bernilai tinggi.
“Selain itu, ia berupaya berintensifkan pengetahuan, sekali gus menyumbang kepada peluang pekerjaan yang lebih berkualiti dan pembangunan bakat yang lebih kukuh,” katanya pada Majlis Perasmian WORQ Well di sini, hari ini.
Majlis berkenaan diadakan sempena pelancaran sub-jenama terbaharu WORQ iaitu WORQ Well yang bertempat di Menara Aspire, KL Eco City.
WORQ Well merangkumi keluasan 34,300 kaki persegi dan mampu menampung sehingga 500 ahli, selain menyediakan akses terus ke stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dan Keretapi Tanah Melayu (KTM) selari dengan konsep ruang kerja berorientasikan transit.
Pelancaran itu menjadikan jumlah keseluruhan ruang di bawah pengurusan WORQ meningkat kepada 340,000 kaki persegi.