Pahang catat 100 peratus penurunan penagihan dadah di 12 KBT

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berucap pada Majlis Apresiasi Bintang Antidadah Tahun 2025 AADK Negeri Pahang/ BERNAMA

KUANTAN, 5 Februari – Negeri Pahang mencatatkan kejayaan membanggakan apabila merekodkan pengurangan 100 peratus Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) dadah hasil sinergi di antara Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Pahang bersama agensi berkaitan.

RINGKASAN BERITA AI
  • 12 kawasan KBT kini bertukar status hijau hasil pelaksanaan Program Dadah Terkawal 2025.
  • Intervensi menyeluruh: pendidikan pencegahan, rawatan, pemulihan dan penguatkuasaan.
  • Sokongan belanjawan negeri disalurkan kepada NGO pemulihan seperti PEMADAM, PENGASIH dan DIC.
  • Sasaran lima tahun: kadar penagihan tidak melebihi 700 orang bagi setiap 100,000 penduduk.

Kejayaan itu seterusnya menyaksikan 12 kawasan terlibat kini mencapai status hijau hasil pelaksanaan berterusan Program Dadah Terkawal 2025.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata antara mukim yang berjaya diturunkan status kepada Kawasan Berisiko Rendah (KBR) ialah Mukim Gali, Batu Talam, Dong dan Sega di Raub; Mukim Pekan, Kuala Pahang dan Pahang Tua di Pekan; Mukim Perak dan Mentakab di Temerloh; Mukim Chenor di Maran serta Mukim Kuala Kuantan.

“Sepanjang tempoh lima tahun, Kerajaan Negeri Pahang telah memberikan sokongan berterusan melalui pelaksanaan Pelan Strategik Pahang Teguh Dadah Terkawal (PTDT) 2021–2025, diperkukuh melalui Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) di peringkat daerah dan negeri. Keberhasilan ini lahir daripada intervensi menyeluruh meliputi pendidikan pencegahan, rawatan, pemulihan dan penguatkuasaan, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan kondusif,” kata beliau ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Bintang Antidadah AADK Negeri Pahang Tahun 2025 di Kuantan, Pahang.

Dalam pada itu beliau berkata, statistik penyalahgunaan dadah oleh MyAADK sehingga Disember 2025 menunjukkan seramai 3,706 penagih direkodkan, dengan 1,216 orang atau 32.81 peratus melibatkan kawasan FELDA yang menuntut tindakan lebih tegas dan menyeluruh.

Seiring titah Sultan Pahang katanya, kerajaan negeri akan terus memperkasakan pendekatan menyeluruh melibatkan dasar dan polisi, pendidikan di sekolah dan institusi pengajian, kerjasama penguatkuasaan bersama PDRM dan AADK, serta pemulihan dan sokongan sosial kepada bekas penagih.

Sebagai sokongan berterusan, Kerajaan Negeri Pahang telah menyalurkan peruntukan melalui Belanjawan Negeri termasuk RM75,000 kepada Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), RM75,000 kepada Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH) dan RM150,000 kepada Drug Intervention Community (DIC).

Beliau menegaskan bahawa sasaran lima tahun akan datang adalah memastikan kadar penagihan di Pahang tidak melebihi 700 orang bagi setiap 100,000 penduduk, selari dengan misi Dadah Terkawal 2030.