
BALING, 5 Februari- Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dipercayai terjatuh dari pokok petai di sebuah kebun di Kampung Bukit Hijau, Kupang dekat sini, hari ini.
- Lelaki 34 tahun ditemui maut di kebun Kampung Bukit Hijau, Kupang, dipercayai terjatuh dari pokok petai.
- Pemeriksaan awal polis mengesahkan tiada unsur jenayah pada tubuh mangsa.
- Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Baling untuk bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Brandon Richard Joe berkata pihaknya menerima panggilan pada 12.22 tengah hari tadi dengan lelaki berusia 34 tahun itu ditemukan tidak sedarkan diri di atas tanah berhampiran sebatang pokok petai di kebun berkenaan yang dimiliki bapa saudara mangsa.
“Pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan mangsa sudah meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemeriksaan awal mendapati tiada unsur jenayah pada tubuh mangsa yang dipercayai terjatuh semasa mengait petai di situ,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Baling untuk bedah siasat.