
KUALA LUMPUR, 5 Februari – Kerangka Insentif Baharu (NIF) yang akan dilaksana mulai 1 Mac ini disifatkan sebagai langkah strategik kerajaan untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi serta menyokong reformasi pasaran buruh negara.
- NIF fokus tarik pelaburan berkualiti tinggi yang mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi dan merangsang teknologi.
- Sistem insentif baharu berasaskan hasil menilai kualiti dan impak pelaburan, bukan jumlah pelaburan.
- Insentif tambahan untuk kawasan kurang membangun bagi agihan pembangunan lebih seimbang dan inklusif.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, NIF dirangka sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dengan menumpukan kepada pelaburan dalam industri teras yang berpotensi tinggi.
Menurut beliau, keutamaan diberi kepada pelaburan yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, selain merangsang pembangunan dan penerapan teknologi bagi memperkukuh daya saing ekonomi negara.
“Pelaburan utama di bawah Pelan Induk Perindustrian Negara akan menerima insentif lebih tinggi bagi memastikan pelaburan selari dengan hala tuju pembangunan negara.
“Pelaburan berasaskan hasil yang menyokong reformasi pasaran buruh, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan membangunkan industri strategik akan diberi keutamaan, dengan fokus kepada kualiti serta impak pelaburan berbanding kuantiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam sesi Dasar Fiskal dan Monetari sempena Forum Ekonomi Malaysia 2026 (FEM 2026) di sini.
Tambahnya, berbeza dengan sistem lama yang menilai pemberian insentif berdasarkan jumlah pelaburan, NIF diperkenalkan dengan pendekatan baharu yang berfokus berasaskan hasil.
Menurutnya, kerangka itu memberi fokus kepada kualiti serta impak pelaburan terhadap pertumbuhan ekonomi, inovasi dan pembangunan tenaga kerja tempatan bagi manfaat jangka panjang negara.
Selain itu, NIF turut menggalakkan agihan pembangunan yang lebih seimbang dengan menawarkan insentif tambahan kepada pelaburan di kawasan kurang membangun bagi merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar.
Beliau menegaskan, NIF menumpukan kuantiti pelaburan yang memberi impak mampan dan menyokong aspirasi Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi secara inklusif.