494 tapak kawasan hijau, lapang di KL kini boleh diakses umum

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh ketika sidang media di Taman Rimba Bukit Kerinchi hari ini/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Februari – Sejumlah 494 tapak kawasan hijau dan kawasan lapang yang telah diwartakan di Kuala Lumpur kini boleh diakses oleh orang ramai menerusi pelaksanaan inisiatif Data Terbuka oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP).

RINGKASAN BERITA AI
  • 494 tapak kawasan hijau dan lapang diwartakan kini boleh diakses umum melalui inisiatif Data Terbuka PPTGWP.
  • Senarai penuh diterbitkan dalam talian buat pertama kali untuk memperkukuh ketelusan dan penyertaan awam.
  • Maklumat tersedia melalui ikon MyHijau di laman web rasmi PPTGWP sebagai rujukan orang ramai.
  • Pasukan petugas khas ditubuhkan untuk mempercepatkan pewartaan baki tapak dan memperkukuh penyelarasan agensi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, buat pertama kali senarai penuh kawasan hijau dan kawasan lapang yang telah diwartakan diterbitkan secara dalam talian sebagai langkah memperkukuh ketelusan serta penyertaan awam.

Orang ramai boleh merujuk maklumat berkenaan melalui ikon MyHijau di laman web rasmi PPTGWP.

“Kawasan hijau dan kawasan lapang amat penting. Selain fungsi rekreasi, ia menyokong kesejahteraan, membantu menghubungkan komuniti dan memainkan peranan kritikal dalam daya tahan iklim. Ketika Kuala Lumpur bergerak ke arah menjadi bandar urus air hujan secara pintar, setiap ruang hijau amat bermakna,” kata beliau pada sidang media di Taman Rimba Bukit Kerinchi, hari ini.

Tambah Hannah, usaha sedang dijalankan bagi melengkapkan proses pewartaan baki tapak kawasan hijau yang masih ada.

Bagi mempercepatkan proses itu, Jabatan Wilayah Persekutuan menubuhkan Pasukan Petugas Khusus Pewartaan Kawasan Lapang dan Hijau bagi mengenal pasti jurang teknikal, memperkukuhkan penyelarasan antara agensi serta memastikan semua tapak dapat diwartakan sepenuhnya.

Langkah tersebut turut mendapat sokongan masyarakat sivil yang menyifatkannya sebagai usaha penting melindungi kawasan hijau di ibu negara.

Majlis Konvokesyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan

TEMAN TEKUN Sabah salur RM25.17 juta sepanjang 2025, perkasa usahawan tempatan

Artikel Tajaan