
KUALA LUMPUR, 5 Februari – Kerajaan bercadang untuk memperkenalkan platform penyelesaian pertikaian dalam talian atau Online Dispute Resolution (ODR) bagi menangani peningkatan kes penipuan e-dagang.
- Kerajaan bercadang memperkenalkan platform Penyelesaian Pertikaian Atas Talian dikawal selia untuk tangani penipuan e-dagang.
- Platform ODR memudahkan rundingan, mediasi, timbang tara dan pendengaran kes secara digital.
- Reformasi undang-undang akan dibentangkan penggal Parlimen akan datang untuk mewujudkan kerangka pertikaian komprehensif.
- Pelaksanaan bermula di bawah bidang kuasa KPDN sebelum diperluaskan ke seluruh ekosistem e-dagang.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, reformasi undang-undang berkenaan disasar untuk dibentangkan pada penggal Parlimen akan datang akan merangkumi penubuhan platform ODR yang dikawal selia kerajaan.
“Kami bercadang memperkenalkan platform Penyelesaian Pertikaian Atas Talian yang dikawal selia kerajaan bagi memudahkan proses rundingan, mediasi dan pendengaran kes secara digital, sekali gus meningkatkan perlindungan pengguna serta membangunkan ekosistem e-dagang yang lebih mampan.
“Daripada lebih 136,000 aduan yang diterima, jumlah tertinggi melibatkan dakwaan penipuan dalam talian dengan sebanyak 33,400 kes. Sehubungan itu, antara teras reformasi perundangan e-dagang ialah mewujudkan kerangka penyelesaian pertikaian yang komprehensif,” katanya.
Beliau menjawab soalan ahli parlimen Kuala Pilah Datuk Adnan Abu Hassan berkenaan jumlah kes penipuan atau scam melibatkan transaksi jual beli yang dilaporkan sejak 2023 hingga kini dan berapakah jumlah kes yang telah dikenakan tindakan mahkamah dalam tempoh itu serta apakah jenis hukuman dikenakan.
Platform itu dijangka memudahkan proses rundingan, mediasi, timbang tara dan pendengaran kes secara digital, bermula dengan kes bawah bidang kuasa KPDN sebelum diperluaskan ke seluruh ekosistem e-dagang.