
CANBERRA, 6 Februari — Menteri Luar Jerman, Johann Wadephul menggesa China supaya menahan diri daripada membangunkan senjata susulan berakhirnya perjanjian nuklear antara Amerika Syarikat dan Rusia.
- Wadephul menegaskan China mesti dilibatkan dalam usaha kawalan persenjataan untuk membina kepercayaan antarabangsa.
- Berakhirnya Perjanjian New START menimbulkan kebimbangan perlumbaan senjata baharu dan keperluan rundingan multilateral.
- Amerika Syarikat dan sekutunya menyeru rundingan baharu termasuk penyertaan China atas perkembangan simpanan nuklearnya.
Aktivis memberi amaran bahawa dengan berakhirnya Perjanjian New START pada hari ini boleh mencetuskan perlumbaan senjata baharu antara kuasa nuklear utama dunia serta menggalakkan China memperluaskan senjata nuklearnya.
“Sebarang perjanjian kawalan persenjataan yang tamat tempoh mesti menjadi kebimbangan kepada kami,” kata Wadephul kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke Australia pada Khamis.
Beliau berkata situasi itu menggambarkan betapa besarnya cabaran untuk membina semula kepercayaan global yang boleh menjadi asas kepada perjanjian baharu pada masa hadapan.
Wadephul menegaskan China perlu terlibat dalam usaha kawalan persenjataan pada masa depan.
“China mesti dilibatkan. China sering menekankan komitmennya terhadap multilateralisme dan dalam bidang kawalan persenjataan, ia juga perlu menunjukkan kesediaan untuk menahan diri serta membina kepercayaan dalam hubungan antarabangsa,” katanya.
Pada Rabu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, menyeru agar satu rundingan perjanjian baharu diadakan dengan penyertaan China.
“Presiden sebelum ini jelas menegaskan bahawa untuk mewujudkan kawalan persenjataan sebenar pada abad ke-21, adalah mustahil untuk melaksanakannya tanpa melibatkan China, berikutan stok simpanan senjata nuklearnya yang besar dan berkembang pesat,” katanya.
China kini memiliki anggaran 550 kepala peledak nuklear strategik, jumlah yang masih jauh lebih rendah berbanding had 800 unit masing-masing yang dibenarkan kepada Rusia dan Amerika Syarikat di bawah Perjanjian New START.
Manakala, Perancis dan Britain, sekutu Amerika Syarikat yang terikat dengan perjanjian, secara bersama memiliki kira-kira 100 kepala peledak nuklear. – Afp