
KUALA LUMPUR, 4 Feb – Kementerian Kewangan mengesahkan semua tuntutan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang boleh dibayar telah diselesaikan.
- Semua tuntutan bayaran balik GST yang boleh dibayar telah diselesaikan, kecuali sekitar RM30 juta.
- RM30 juta tertunggak disebabkan kes mahkamah dan maklumat pembayaran tidak lengkap.
- Bayaran balik lebihan cukai 2025 tertinggi dalam 5 tahun, berjumlah RM22.45 bilion.
- Kerajaan membayar pampasan 2% setahun; RM23.6 juta pampasan telah dibayar pada 2025.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ketika GST dimansuhkan pada tahun 2018, jumlah tuntutan bayaran balik yang tertunggak ketika itu mencecah RM19 bilion.
“Kesemua tuntutan telah dibayar balik, kecuali sekitar RM30 juta yang masih belum dapat diselesaikan atas sebab-sebab tertentu.
“Antaranya tuntutan yang masih dalam proses perbicaraan di mahkamah serta maklumat bayaran balik seperti akaun bank syarikat yang tidak lengkap,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Datuk Seri Amir Hamzah berkata, seperti termaktub dalam perundangan negara, lebihan bayaran cukai yang dikutip oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia mesti dibayar balik kepada pembayar cukai mengikut prosedur yang ditetapkan.
Bayaran balik lebihan cukai yang diselesaikan tahun 2025 adalah tertinggi dalam tempoh 5 tahun lalu iaitu RM22.45 bilion.
“Jika dibandingkan bayaran balik lebihan cukai dalam tiga tahun terkini (2023-2025), Kerajaan MADANI melunaskan bayaran balik sebanyak RM56 bilion, iaitu 50% lebih tinggi daripada bayaran balik tahun 2020-2022 sebanyak RM37 bilion.
“Sebahagian bayaran balik berjumlah RM7.5 bilion telah dibuat dalam bulan Disember 2025 berbanding komitmen awal RM4 bilion yang diumumkan Perdana Menteri pada 6 Disember 2025,” jelasnya lagi.
Tambahnya, kerajaan sememangnya mematuhi peruntukan undang-undang dan akan membayar pampasan pada kadar 2% setahun bagi sebarang kelewatan bayaran balik, seperti termaktub dalam Akta Cukai Pendapatan 1967.
Setakat ini, bayaran pampasan berjumlah RM23.6 juta telah dibuat bagi sebahagian bayaran balik pada tahun 2025.