
KHAN YUNIS, 4 Februari – Orang ramai dilihat berkumpul di sekitar sebuah bas yang membawa pulang rakyat Palestin ke Hospital Nasser di sini, awal pagi Rabu, selepas lintasan Rafah dibuka semula, baru-baru ini.
- Dua bas diiringi kenderaan PBB membawa penduduk Gaza ke Hospital Nasser di Khan Yunis.
- Pembukaan lintasan Rafah dilaksanakan secara berperingkat dengan kawalan keselamatan ketat.
- Proses yang perlahan memberi sedikit kelegaan, terutama bagi pesakit yang memerlukan rawatan di luar Gaza.
Dua buah bas yang diiringi kenderaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) tiba di kompleks hospital berkenaan, sebelum penumpang turun selepas menyeberang masuk dari Mesir.
Lintasan Rafah merupakan satu-satunya pintu keluar masuk Gaza ke dunia luar bagi lebih dua juta penduduknya dan sebahagian besarnya ditutup sepanjang konflik Israel-Hamas.
Pembukaan semula lintasan itu dilaksanakan secara berperingkat, dengan pergerakan rakyat Palestin dikawal ketat menerusi prosedur keselamatan.
Walaupun prosesnya perlahan, langkah berkenaan disifatkan memberi sedikit kelegaan kepada penduduk Gaza, khususnya mereka yang memerlukan rawatan perubatan di luar negara. -REUTERS