MyCARE Johor teruskan misi bantuan di Sumatera Utara, Aceh

Pengurus MyCARE Johor, Rozi Abdul Ghani (dua dari kiri) bersama Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam (dua dari kanan) pada Pelancaran Kempen Kutipan Misi Kemanusiaan Bantuan Aceh 2.0 MyCARE

JOHOR BAHRU, 2 Februari – Tabung Kemanusiaan Bencana Sumatera Utara dan Misi Kemanusiaan ke Aceh 2.0 dilancarkan sebagai persediaan bagi pelaksanaan misi bantuan ke Aceh, Indonesia yang dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 20 Februari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • MyCARE Johor teruskan misi kemanusiaan susulan impak banjir besar di Sumatera Utara dan Aceh.
  • Kerjasama dengan Pasaraya Econsave untuk sokongan logistik dan bantuan makanan panas.
  • Agihan pek makanan, serahan tiga Rumah Senyum awal, majlis berbuka dan pasar percuma untuk mangsa.
  • Sasaran kutipan RM500,000 sepanjang tahun bagi memastikan bantuan berterusan disalurkan.

Pengurus Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Johor, Rozi Abdul Ghani berkata, kutipan diteruskan susulan banjir besar yang masih menjejaskan kehidupan penduduk dengan kesan bencana dijangka berpanjangan.

“Kita menyedari keadaan di Sumatera Utara termasuk Aceh masih berada dalam situasi yang amat sukar susulan banjir besar yang melanda, dengan kesannya berkemungkinan berlarutan sehingga satu atau dua tahun.

“Sehubungan itu, pihak kami telah melaksanakan Misi Kemanusiaan 1.0 pada Disember lalu dan akan meneruskan Misi Kemanusiaan 2.0 pada Februari ini, selain merancang pelaksanaan misi-misi lain, 3.0 dan seterusnya.” katanya semasa Pelancaran Kempen Kutipan Misi Kemanusiaan Bantuan Acheh 2.0 MyCARE di sini hari ini.

Inisiatif tersebut turut mendapat kerjasama Pasaraya Econsave.

Pengurus Besar, Mas Imran Adam berkata, pihaknya akan terus menyokong inisiatif kemanusiaan ini dalam usaha meringankan beban penduduk yang terjejas.

“Bagi misi kedua ini, kita akan mengagihkan pek makanan serta menyediakan makanan panas kepada penduduk terjejas.

“Selain itu, kita turut akan menyerahkan Rumah Senyum memandangkan kira-kira 80 peratus rumah di kampung berkenaan musnah, dengan tiga unit rumah diserahkan pada peringkat awal.

“Dalam program ini juga, kita akan mengadakan majlis berbuka puasa bersama penduduk kampung serta melaksanakan program ‘free market’ bagi membantu mangsa banjir Badang.” tambahnya.

Pihaknya menyasarkan kutipan RM500,000 bermula hari ini hingga Disember nanti bagi memastikan bantuan berterusan dapat disalurkan kepada mangsa bencana.