Thaipusam: Tujuh laluan utama sekitar Batu Caves ditutup

FOTO GOOGLE

BATU CAVES, 29 Januari – Polis Selangor mengumumkan penutupan beberapa jalan utama di sekitar Batu Caves bermula 30 Januari, bersempena pelaksanaan Op Palu 2026 dan sambutan perayaan Thaipusam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis menutup tujuh laluan utama sekitar Batu Caves dari 30 Januari hingga 3 Februari bagi kelancaran trafik dan keselamatan Thaipusam.
  • Seramai 1,520 anggota polis ditugaskan untuk kawalan keselamatan dan lalu lintas termasuk bantuan kontinjen lain.
  • Orang ramai digalakkan guna laluan alternatif dan patuhi arahan serta maklumat trafik terkini melalui media sosial Polis Daerah Gombak.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata tujuh laluan utama menuju ke Kuil Batu Caves dan kawasan sekitarnya akan ditutup, termasuk laluan susur MRR2, Jalan Perusahaan serta beberapa simpang utama di Batu Caves.

“Penutupan jalan tersebut yang akan dilaksanakan bermula pukul 12.01 tengah malam 30 Januari hingga 12.00 tengah malam 3 Februari, dibuat secara berperingkat bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan orang ramai sepanjang musim perayaan.

“Bagi tujuan kawalan keselamatan dan lalu lintas, seramai 1,520 anggota polis akan ditugaskan, melibatkan kekuatan daripada Kontinjen Selangor, Bukit Aman serta bantuan kontinjen lain” katanya menerusi kenyataan.

Orang ramai yang tidak mempunyai urusan di kawasan sambutan disarankan menggunakan laluan alternatif seperti Lebuhraya DUKE, NKVE, Jalan Kuching, Jalan Gombak dan Jalan Sungai Tua bagi mengelakkan kesesakan.

Orang ramai juga diingatkan supaya mematuhi arahan pihak berkuasa, merancang perjalanan lebih awal serta mengikuti maklumat terkini trafik yang akan dikemas kini menerusi media sosial Polis Daerah Gombak.