LKM e-panggilan lebih fleksibel, kadar fi baharu ikut tempoh

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 29 Januari – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan kadar fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) baharu bagi kenderaan perkhidmatan e-panggilan mengikut tempoh sah dan kapasiti enjin (cc), selaras dengan penetapan fleksibiliti pembaharuan LKM yang berkuat kuasa esok (Jumaat).

RINGKASAN BERITA AI
  • JPJ tetapkan kadar fi LKM baharu ikut tempoh sah dan kapasiti enjin untuk kenderaan e-panggilan.
  • Tempoh pembaharuan LKM boleh satu hingga 12 bulan, dengan minimum satu bulan dan maksimum 12 bulan.
  • Fleksibiliti pembaharuan antara satu hingga lima bulan, fi terkumpul tidak melebihi kadar enam bulan.
  • Langkah ini bertujuan kurangkan beban kewangan pemilik dan lancarkan proses pembaharuan LKM.

Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan memaklumkan, penetapan semula kadar pengiraan fi LKM dan tempoh pembaharuan LKM bagi kenderaan perkhidmatan e-panggilan dilakukan bagi menyelesaikan isu tersebut.

“Terdapat isu berbangkit melibatkan pemilik kenderaan e-panggilan yang mengalami kesukaran untuk memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) apabila tempoh permit kenderaan tersebut (eVP) telah hampir tamat dan berbaki tempoh sah laku kurang daripada enam bulan.

“Semua kenderaan perkhidmatan e-panggilan yang berdaftar sah dibenarkan memperbaharui LKM bagi tempoh yang lebih singkat daripada enam atau 12 bulan, tertakluk kepada tempoh sah laku terendah eVP, laporan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) serta perlindungan insurans yang masih berkuat kuasa,” menurut kenyataan tersebut.

JPJ menetapkan tempoh minimum sah LKM bagi kenderaan e-panggilan adalah satu bulan, manakala tempoh maksimum kekal sehingga 12 bulan.

Selain itu, pemilik kenderaan diberikan fleksibiliti untuk memperbaharui LKM bagi tempoh antara satu hingga lima bulan, dengan kadar fi terkumpul tidak melebihi kadar fi LKM bagi tempoh enam bulan.

“Kadar fi LKM bagi tempoh enam bulan dan 12 bulan adalah tidak berubah. Kemudahan berkenaan bagaimanapun hanya terpakai selagi kenderaan tersebut kekal berdaftar secara sah sebagai kenderaan perkhidmatan e-panggilan,” tambah kenyataan itu.

Langkah itu dijangka dapat mengurangkan beban kewangan pemilik kenderaan e-panggilan serta melancarkan proses pembaharuan LKM selaras dengan keperluan peraturan sedia ada.