
KOTA BHARU, 28 Januari – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya mengutip lebih RM5.59 juta hasil saman tertunggak melibatkan kenderaan berdaftar Thailand bagi tempoh 2023 hingga 2025 menerusi pelaksanaan Operasi Tunggak Kenderaan Thailand.
- JPJ kutip lebih RM5.59 juta saman tertunggak kenderaan berdaftar Thailand bagi 2023 hingga 2025 melalui Operasi Tunggak Kenderaan Thailand.
- Tindakan penguatkuasaan tegas, sekatan pergerakan dan pemeriksaan menyeluruh tingkatkan penyelesaian saman di lokasi.
- Kesalahan tertinggi: tiada ICP (11,946), pameran ICP salah (5,573) dan tiada CDL (3,585).
- Kedah rekodkan kes tertinggi; van Thailand sering bawa penumpang walau dilarang kerana kenderaan persendirian.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, kutipan itu hasil penguatkuasaan lebih tegas terhadap kenderaan asing yang memasuki negara ini.
Menurut beliau, kutipan tertinggi direkodkan pada tahun lalu dengan jumlah melebihi RM4 juta.
Beliau menjelaskan peningkatan itu dipacu tindakan sekatan pergerakan, pemeriksaan menyeluruh serta penyelesaian saman tertunggak di lokasi.
“Terdapat tiga kesalahan tertinggi direkodkan iaitu tiada Permit Peredaran Antarabangsa (ICP) sebanyak 11,946 kes, pameran ICP tidak mengikut syarat ditetapkan sebanyak 5,573 kes dan 3,585 kes bagi kesalahan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL). Selain itu, terdapat juga kesalahan lain seperti gagal berhenti di lampu isyarat dan memandu laju,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang media di Ibu Pejabat JPJ Negeri Kelantan di sini, hari ini.
Kedah merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 37,527 kes, diikuti Kelantan sebanyak 6,653 kes, susulan kedudukan negeri bersempadan yang menjadi laluan utama van dari Thailand.
“Van dari Thailand digunakan membawa pekerja kedai tomyam. Kenderaan ini tidak dibenarkan membawa penumpang kerana ia kenderaan persendirian walaupun menggunakan ICP,” katanya.
Menurut beliau, operasi itu dilaksanakan di seluruh negara dengan tumpuan di Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan.
Berdasarkan siasatan, tambang van yang membawa antara lapan hingga 10 orang penumpang dianggarkan antara RM70 hingga RM150 bagi perjalanan dua hala.