Perletakan jawatan Exco FAM disifatkan langkah wajar – pemerhati sukan

Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Januari – Perletakan jawatan secara kolektif dan sukarela Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) disifatkan sebagai langkah yang wajar susulan kemelut yang mencemarkan imej negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perletakan jawatan kolektif Exco FAM dianggap langkah wajar susulan kemelut yang mencemarkan imej negara.
  • Pemantau sukan menilai tindakan itu sebagai tanggungjawab moral terhadap malapetaka bola sepak negara.
  • Disarankan barisan kepimpinan FAM mengeluarkan kenyataan rasmi dan memohon maaf kepada rakyat Malaysia.
  • Perletakan jawatan tidak menjamin Malaysia terlepas daripada tindakan atau penggantungan oleh FIFA dan AFC.

Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata keputusan itu dibuat selepas krisis berpanjangan yang bukan sahaja menjejaskan reputasi bola sepak Malaysia di peringkat Asia Tenggara malah turut memberi kesan di peringkat antarabangsa.

“Perletakan jawatan hari ini sememangnya dinanti-nantikan dan ditunggu oleh peminat bola sepak Malaysia. Ia satu keputusan yang amat wajar susulan kemelut bola sepak negara yang telah mencemar nama Malaysia di mata dunia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu bentuk tanggungjawab moral terhadap “malapetaka” yang melanda bola sepak negara namun berpandangan barisan kepimpinan FAM seharusnya tampil memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Tindakan ini menunjukkan bahawa ahli-ahli majlis berjiwa besar dan bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku. Namun, lebih wajar sekiranya satu kenyataan rasmi dikeluarkan untuk memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana isu ini telah menjejaskan imej dan nama negara di peringkat antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa perletakan jawatan secara kolektif tidak semestinya menjamin Malaysia terlepas daripada sebarang hukuman oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Menurutnya, terdapat pandangan bahawa langkah tersebut bertujuan mengelakkan hukuman lebih berat, namun keputusan akhir tetap terletak di tangan badan induk bola sepak dunia itu.

“Saya tidak nampak perletakan jawatan ini sebagai satu jaminan yang boleh mempengaruhi FIFA atau AFC. Jika mereka merasakan perlu untuk menggantung Malaysia, mereka tetap akan menggantung,” katanya.

Tambah beliau, situasi itu perlu dilihat secara realistik dan berlandaskan kepada penilaian FIFA serta AFC terhadap keseluruhan isu yang melanda pentadbiran bola sepak negara.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan