
KUALA LUMPUR, 27 Januari – Pengukuhan ringgit ketika ini tidak memberi kesan ketara terhadap prestasi eksport Malaysia, sebaliknya membantu meningkatkan nilai tambah eksport yang sebahagian besarnya melibatkan barangan perantaraan dan aktiviti pemprosesan semula.
- Pengukuhan ringgit tidak memberi kesan ketara kerana eksport banyak melibatkan barangan perantaraan dan aktiviti tambah nilai.
- Peningkatan nilai tambah dan pemprosesan semula membantu kurangkan kesan ringgit kukuh ke atas pengeksport.
- Malaysia perlu bergerak dari pengeluar kos rendah ke rantaian nilai lebih tinggi untuk jana pendapatan berkualiti.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata komposisi eksport Malaysia banyak dipacu aktiviti nilai tambah berasaskan rantaian bekalan global, sekali gus menjadikan kesan pengukuhan ringgit terhadap eksport lebih terkawal.
“Saya fikir sebahagian besar perdagangan kita sebenarnya melibatkan aktiviti nilai tambah. Sebagai contoh, sektor elektrik dan elektronik (E&E) merupakan eksport terbesar Malaysia. Lazimnya, kita mengimport barangan separa siap dan kemudian kita tambah nilai, contohnya melalui pembungkusan, sebelum mengeksportnya semula.
“Dalam keadaan itu, ia tidak memberi kesan besar kerana apabila ringgit semakin kukuh, kita membeli barangan pada harga yang lebih murah,” katanya di Majlis Pasca Pengumuman Prestasi Perdagangan Malaysia 2025, di Menara MATRADE.
Beliau berkata, walaupun terdapat kebimbangan pengukuhan ringgit akan menjejaskan eksport, ia tidak dipamerkan oleh prestasi perdagangan pada Disember lalu, sebaliknya mencatat peningkatan dari segi volum.
Bagi produk yang benar-benar dihasilkan di dalam negara, pengukuhan ringgit mungkin memberi sedikit tekanan kepada pengeksport, namun kesannya boleh dikurangkan melalui peningkatan nilai tambah dan peralihan kepada pasaran bernilai tinggi.
Beliau berkata Malaysia juga tidak lagi boleh bergantung kepada status sebagai pengeluar kos rendah, sebaliknya perlu bergerak ke arah rantaian nilai yang lebih tinggi bagi menjana pendapatan berkualiti dan kekayaan sebenar.