Penstrukturan agensi perkukuh kualiti pendakwaan Syariah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Januari – Kerajaan Madani melalui Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan sedang melaksanakan usaha mempertingkatkan kecekapan dan kualiti pendakwaan Syariah di peringkat nasional.

RINGKASAN BERITA AI
  • Melaksanakan penstrukturan agensi untuk memperkukuh sistem pendakwaan Syariah secara menyeluruh di peringkat nasional.
  • Cadangan penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah Malaysia dibincang bersama pihak berkuasa negeri tanpa menghakis kuasa negeri.
  • Proses penubuhan kini hampir lengkap dan akan dibawa ke Majlis Kebangsaan dan Majlis Raja-Raja untuk perkenan.

Usaha itu dilaksanakan menerusi langkah penstrukturan agensi bagi memperkukuh sistem pendakwaan Syariah secara menyeluruh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, berkata usaha penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah di peringkat Persekutuan kini sedang diperincikan.

Jelasnya usaha itu mengambil kira kedudukan pendakwaan Syariah di Wilayah Persekutuan serta 13 negeri yang telah diasingkan sepenuhnya daripada Jabatan Agama Islam Negeri, manakala Sabah berada pada peringkat akhir proses penjabatanan.

“Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan bersama Jabatan Pendakwaan Syariah negeri-negeri telah mengadakan persidangan meja bulat bagi membincangkan cadangan penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah Malaysia di peringkat Persekutuan.

Perbincangan ini melibatkan pihak berkuasa agama negeri serta Setiausaha Kerajaan Negeri, dan cadangan penubuhan ini tidak akan menghakis kuasa negeri-negeri.” kata beliau ketika sesi pertanyaan-pertanyaan dan jawab lisan di Dewan rakyat.

Beliau turut memaklumkan gerak kerja penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah Malaysia kini berada pada peringkat akhir sebelum dibawa ke Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia.

Seterusnya, cadangan penubuhan jabatan berkenaan akan diangkat ke Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan.